DUNIA > BERITA

OPENAI CUBA HALANG PENYERAHAN 20 JUTA LOG CHATGPT DALAM KES HAK CIPTA

13/11/2025 11:03 PM

ISTANBUL, 13 Nov (Bernama-Anadolu) -- Syarikat gergasi kecerdasan buatan OpenAI meminta hakim persekutuan di New York untuk menghalang perintah yang memintanya menyerahkan 20 juta perbualan ChatGPT tanpa nama dalam tuntutan hak cipta yang difailkan oleh The New York Times dan beberapa organisasi media lain, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam dokumen mahkamah yang difailkan pada Rabu, syarikat itu menyifatkan permintaan itu sebagai satu pencerobohan besar terhadap privasi pengguna, sambil menegaskan yang “99.99 peratus” transkrip itu tiada kaitan dengan dakwaan pelanggaran hak cipta.

Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat OpenAI Dane Stuckey berkata tuntutan terhadap log ChatGPT itu mengabaikan perlindungan privasi yang telah lama diamalkan dan “bercanggah dengan amalan keselamatan yang berasaskan kewarasan.” “Diperjelaskan, sesiapa sahaja di dunia yang pernah menggunakan ChatGPT dalam tempoh tiga tahun lalu kini berdepan kemungkinan yang perbualan peribadi mereka akan diserahkan kepada The Times untuk diperiksa sesuka hati dalam satu tindakan bersifat andaian,” menurut dokumen itu.

Media itu berhujah yang log berkenaan diperlukan untuk menentukan sama ada ChatGPT mengeluarkan semula bahan yang mempunyai hak cipta mereka dan untuk menangkis dakwaan OpenAI yang mereka ‘menggodam’ chatbot itu bagi mencipta bukti.

Saman itu menuduh OpenAI melatih ChatGPT menggunakan artikel berita berhak cipta tanpa kebenaran.

“Bidang kewartawanan secara tradisinya memainkan peranan penting dalam mempertahankan hak privasi individu di seluruh dunia,” kata Stuckey.

“Namun, tuntutan The New York Times tidak mencerminkan legasi itu dan kami meminta mahkamah menolak permintaan ini,” katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan