KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) akan terus menjadi mekanisme penting bagi ASEAN pada masa depan untuk memperkukuh hubungan dengan rakan kongsi, mencapai integrasi ekonomi yang lebih baik serta memelihara keseimbangan ekologi dan maritim di rantau ini.
Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia Datuk Zanariah Zainal Abidin berkata AOIP menjadi asas kepada kerjasama ASEAN dengan strategi Indo-Pasifik berikutnya bagi memastikan rantau ini kekal aman, stabil dan makmur melalui kerjasama dalam empat bidang keutamaan - kerjasama maritim, kesalinghubungan, Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta bidang ekonomi dan kerjasama lain yang berpotensi.
“AOIP mengingatkan kita bahawa kestabilan serantau perlu dipupuk melalui dialog, saling menghormati dan pemahaman bersama bahawa keamanan dan kemakmuran di Indo-Pasifik mesti bergerak seiring,” katanya dalam ucapan pembukaan Forum AOIP 2025 di sini pada Sabtu.
Zanariah berkata di tengah-tengah perubahan geopolitik dan geoekonomi yang semakin ketara di Indo-Pasifik, ASEAN memilih keterlibatan yang membina berbanding konfrontasi atau sikap alpa, dengan AOIP sebagai platform untuk menjambatani kepentingan strategik dan ekonomi bagi memastikan masa depan Indo-Pasifik dibentuk dari dalam tanpa pengaruh berlebihan kuasa luar.
Beliau menegaskan bahawa ketika AOIP dilancarkan pada 2019, ia menggambarkan visi ASEAN sendiri bagi rantau ini yang berpaksikan prinsip keterbukaan, keterangkuman, ketelusan serta penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang.
Beliau menjelaskan bahawa ketika Malaysia menghampiri penutup Kepengerusian ASEAN tahun ini, forum tersebut turut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan negara untuk memperkukuh AOIP.
“Forum AOIP melambangkan keyakinan berterusan kami (Malaysia) terhadap kerjasama, keterangkuman, keamanan dan kemajuan bersama - nilai serta prinsip yang menjadi teras ASEAN,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah dalam ucapannya menekankan aspek keselamatan ekonomi, sambil menyatakan bahawa kepentingan ASEAN kini semakin berkait rapat dengan dinamika geoekonomi dan geopolitik di rantau Indo-Pasifik yang semakin tidak menentu.
Beliau menambah bahawa ASEAN kini menjadi tonggak utama kepada keselamatan keseluruhan Indo-Pasifik.
Beliau berkata Forum AOIP menekankan keperluan bagi memperkukuh dialog dan kerjasama erat dengan negara jiran serta rakan strategik blok itu bagi menyuntik tenaga baharu kepada Kepusatan ASEAN.
“AOIP mesti digerakkan oleh semangat Kepusatan ASEAN yang jelas dan diperbaharui. Tanpanya, AOIP berisiko menjadi sekadar satu lagi kerangka panduan tanpa kekuatan keyakinan di sebaliknya,” katanya sambil menambah bahawa AOIP kini dimasukkan ke dalam matlamat strategik Visi Komuniti ASEAN 2045.
Forum AOIP 2025 bertemakan “Ke Arah Indo-Pasifik yang Inklusif dan Mampan” dianjurkan bersama oleh Kementerian Luar dan ISIS Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial