MOSCOW, 17 Nov (Bernama–Sputnik/RIA Novosti) -- Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat Sean Duffy dan Pentadbir Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Bryan Bedford mengumumkan pemansuhan sekatan penerbangan di negara itu pada Isnin susulan pembatalan dan kelewatan besar-besaran ekoran penutupan kerajaan, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Keputusan hari ini untuk membatalkan arahan itu mencerminkan penurunan berterusan kebimbangan berkaitan kekurangan kakitangan di seluruh Sistem Ruang Udara Nasional (NAS) dan membolehkan kami kembali kepada operasi normal,” kata Bedford seperti dipetik oleh FAA.
Langkah itu akan berkuat kuasa pada 17 November, 6 pagi waktu tempatan (11.00 GMT).**
Tahap tenaga kerja agensi itu mula pulih sejak penutupan kerajaan berakhir, menurut FAA.
Pada Rabu, Dewan Perwakilan AS meluluskan Rang Undang-Undang pembiayaan kerajaan yang dipersetujui Senat untuk menamatkan penutupan kerajaan paling lama dalam sejarah negara itu.
Penutupan itu menyebabkan kerosakan besar kepada negara, termasuk pembatalan atau kelewatan 20,000 penerbangan dan kegagalan pembayaran gaji kepada lebih satu juta pekerja kerajaan, kata Presiden AS Donald Trump selepas menandatangani RUU pembiayaan itu pada 12 November.
Trump berkata penilaian menyeluruh terhadap kesan kewangan dan sosial mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan.
Pada 6 November, pihak berkuasa AS mengumumkan rancangan untuk mengurangkan jumlah penerbangan sebanyak 10 peratus semasa penutupan kerajaan, yang digambarkan oleh Trump sebagai perlu demi memastikan keselamatan 100 peratus.
-- BERNAMA–SPUTNIK/RIA NOVOSTI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial