DUNIA > BERITA

PERTEMUAN PM CHINA-RUSIA DI MOSCOW PERKUKUH KERJASAMA

18/11/2025 03:11 PM

MOSCOW, 18 Nov (Bernama-CMG) -- China menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dengan Rusia berpandukan arahan strategik pemimpin kedua-dua negara, memperkasa komunikasi dan penyelarasan, serta memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan demi kesejahteraan rakyat masing-masing.

Perdana Menteri China Li Qiang menyampaikan komitmen itu ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Mikhail Vladimirovich Mishustin di sini pada Isnin.

Li berkata, China bersedia memperluas kerjasama dua hala dalam bidang pelaburan, sumber tenaga, pertanian, selain mengalu-alukan lebih banyak produk agromakanan buatan Rusia yang berkualiti untuk dipasarkan ke China.

Dalam masa yang sama, beliau berharap Rusia menyediakan lebih banyak kemudahan untuk pelaburan dan pengoperasian syarikat China di Rusia.

"Kedua-dua pihak juga diharap dapat memperluas pertukaran sosiobudaya, mengukuhkan kerjasama dalam bidang kebudayaan, pendidikan, dan perfileman.

"Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 di Tianjin pada September lalu telah melakar pencapaian yang signifikan.

“China bersedia mengeratkan kerjasama dengan Rusia untuk mendorong pihak-pihak terbabit menjunjung 'Semangat Shanghai' dan memperjuangkan matlamat pembangunan dengan memperincikan pelaksanaan wawasan kepimpinan," kata Li.

Sementara itu, Mishustin berkata perkongsian strategik komprehensif Rusia-China pada era baharu berada pada tahap yang tiada bandingannya.

"Rusia bersedia memperluas dialog dengan China di pelbagai peringkat, memperdalam kerjasama dalam ekonomi, perdagangan, sumber tenaga, pertanian dan sosiobudaya, sekali gus memupuk pemangkin baharu untuk pembangunan selanjutnya serta terus menyemarakkan semangat kejiranan.

"Kami bersedia memberi layanan baik untuk pelabur China yang berurus niaga di negara kami. Rusia juga bersedia meningkatkan komunikasi dan koordinasi dengan China dan memacu pembangunan mekanisme SCO, agar dapat menyumbang lebih banyak kepada pembangunan, kedamaian dan kemakmuran serantau bahkan dunia," kata Mishustin.

-- BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan