BANGKOK, 18 Nov (Bernama) -- Negara tuan rumah Thailand telah menetapkan sasaran 241 pingat emas pada Sukan SEA ke-33 bulan depan, ketika persiapan bagi temasya sukan dwitahunan itu berjalan mengikut jadual walaupun terdapat beberapa kesulitan, menurut Pihak Berkuasa Sukan Thailand (SAT).
Gabenor SAT Gongsak Yodmani berkata agensi itu telah mengadakan pertemuan dengan kesemua 50 persatuan sukan kebangsaan, dengan setiap satunya mengemukakan unjuran kutipan pingat.
“Secara kolektif, mereka telah menetapkan sasaran 241 pingat emas, mencerminkan keazaman mereka yang kuat untuk memberikan persembahan cemerlang dan meningkatkan keupayaan atlet Thailand di pentas serantau,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Stadium Nasional Rajamangala di sini, pada Selasa.
Mengenai persiapan untuk temasya itu, Gongsak berkata terdapat kemajuan positif, walaupun terdapat beberapa kelewatan berpunca daripada isu peruntukan belanjawan.
“Banyak projek memerlukan pendanaan baharu yang hanya diluluskan pada Oktober, menyebabkan beberapa tugasan perlu disegerakan semasa peringkat akhir persiapan,” katanya.
Bagaimanapun, SAT kekal yakin bahawa semua persiapan akan disiapkan seperti yang dirancang.
“Thailand akan bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan Sukan SEA ke-33 dengan penuh kehormatan dan mengikut standard antarabangsa,” kata Gongsak, sambil menambah bahawa persiapan juga sedang dijalankan untuk memastikan siaran temasya itu dapat dinikmati seluas mungkin oleh penonton Thailand.
Sukan SEA 2025 akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember, dengan acara akan diadakan di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
Malaysia pula menghantar kontinjen seramai 1,688 anggota termasuk 1,166 atlet – penyertaan terbesar dalam sejarah negara bagi acara itu.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial