JAKARTA, 20 Nov (Bernama) -- Kira-kira 110 kanak-kanak di Indonesia didapati terdedah kepada ideologi radikal melalui perekrutan anggota secara dalam talian oleh kumpulan ekstremis, satu peningkatan mendadak berbanding hanya 17 kes antara 2011 dan 2017, menurut unit antikeganasan negara itu, Densus 88.
Jurucakapnya, Pesuruhjaya Kanan Adjung Mayndra Eka Wardhana berkata proses perekrutan dilakukan secara dalam talian, dengan mangsa berusia antara 10 hingga 18 tahun dikenal pasti di 23 wilayah, kebanyakannya di Jawa Barat dan Jakarta. Perekrut secara amnya tidak mengenali antara satu sama lain.
“Kami melihat lonjakan luar biasa dari tahun ke tahun, menunjukkan wujudnya usaha perekrutan anggota secara besar-besaran melalui media dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, sambil menambah bahawa wilayah lain juga tidak seharusnya dianggap selamat memandangkan siasatan masih dijalankan.
Mayndra berkata propaganda awal disebarkan melalui platform terbuka seperti Facebook, Instagram dan permainan dalam talian yang mengetengahkan naratif utopia bagi menarik minat serta khayalan kanak-kanak sebelum memikat mereka masuk ke kumpulan tertutup, tempat proses indoktrinasi dijalankan.
Jurucakap Polis Indonesia Brigedier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko berkata kanak-kanak mudah terdedah akibat campuran tekanan sosial, termasuk buli, keluarga berpecah-belah, kurang perhatian keluarga, pencarian identiti, keterpinggiran sosial serta tahap literasi digital dan pemahaman agama yang rendah.
Beliau mendedahkan bahawa Densus 88 telah menahan lima individu yang disyaki perekrut, dituduh menguruskan komunikasi kumpulan itu di media sosial serta mempengaruhi kanak-kanak untuk menyertai rangkaian ekstremis dan menggalakkan tindakan keganasan.
Suspek, berumur antara 18 hingga 47 tahun itu ditahan di Medan (Sumatera Utara), Banggai (Sulawesi Tengah), Sleman (Yogyakarta), Tegal (Jawa Tengah) dan Agam (Sumatera Barat).
Seorang daripada mereka merancang serangan yang menyasarkan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat, namun polis tidak memberikan butiran lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial