DUNIA > BERITA

TREND PEMBANGUNAN BANDAR JADI TUMPUAN "DIALOG DATUK BANDAR DUNIA" DI NANJING

20/11/2025 03:35 PM

NANJING, 20 Nov (Bernama-CMG) -- “Dialog Datuk Bandar Dunia” membuka tirainya di sini pada Rabu.

Datuk Bandar Nanjing, Li Zhongjun menyuarakan harapan agar bandar-bandar di seluruh dunia berganding bahu menyerlahkan peranan sebagai penjaga warisan budaya yang bersejarah, pengamal pembangunan hijau dan peneroka dalam pembinaan bandar pintar.

Datuk bandar dan perwakilan dari 10 negara termasuk China selaku tuan rumah, Brunei Darussalam, Mesir, Jerman dan Itali berkongsi pengalaman tadbir urus bandar di negara masing-masing serta membincangkan trend pembangunan bandar, dengan memberi keutamaan kepada pendekatan memacu pembangunan mampan di kawasan bandar tebing sungai di peringkat global.

Pengalaman dan amalan Nanjing dalam pembinaan bandar tebing sungai turut diketengahkan dalam aktiviti yang bertemakan “Bersama Memupuk Peradaban di Tebing Sungai Yangtze”, merangkumi sesi kunjungan dan dialog.

Inisiatif itu dilihat sebagai pakej penyelesaian bercirikan China dan rujukan berguna kepada negara lain dalam membangunkan kawasan bandar tebing sungai secara mampan.

Selepas melawat sebuah tapak peranginan di tembok kota bersejarah yang berusia 600 tahun di Nanjing, Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk Melaka, Datuk Gan Tian Loo berkata Nanjing, yang kaya dengan tinggalan sejarah serta suasana budaya dan kesenian moden kini muncul dalam senarai pilihan pelancong Malaysia yang berpotensi, khususnya dalam kalangan anak muda.

Beliau berharap kerjasama dengan Nanjing dapat diperkukuh dalam bidang kebudayaan, pelancongan, perdagangan dan pendidikan.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan