DUNIA > BERITA

COP30: CHINA PAMER PENERAPAN TEKNOLOGI AI, TANGANI ISU PERUBAHAN IKLIM

21/11/2025 05:18 PM

BELEM, 21 Nov (Bernama-CMG) -- Aktiviti Hari Pendigitalan “Pavilion China” berlangsung sempena Sesi ke-30 Persidangan Pihak-Pihak Pemeterai (COP30) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di sini pada Khamis.

Persidangan itu mengetengahkan pencapaian terbaharu China dalam pelbagai bidang, terutamanya pengkomputeran hijau dan perkhidmatan iklim, dengan memfokuskan kepada penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam tadbir urus iklim pada peringkat global.

Ketua Delegasi China merangkap Naib Menteri Ekologi dan Alam Sekitar, Li Gao berkata terdapat sejumlah institusi dan syarikat seperti Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) dan Kumpulan Alibaba yang sudah mempunyai pengalaman berguna dalam menangani isu iklim melalui penerapan teknologi digital.

Beliau berharap usaha penerokaan itu dapat diperkukuh dalam bidang inovatif, sambil penyelidikan serta aplikasi AI ditingkatkan dalam ramalan iklim, pemantauan bencana dan perkhidmatan awam, yang dipercayai boleh menyumbang kepada peningkatan keupayaan tadbir urus iklim global pada masa hadapan.

Dalam aktiviti yang memberi keutamaan kepada perkhidmatan iklim itu, China turut mempamerkan kemajuan dalam meningkatkan ketepatan ramalan cuaca berdasarkan penggunaan teknologi AI.

Pusat Iklim Negara China menjelaskan bahawa perkhidmatan ramalan cuaca jangka pendek dan ramalan bermusim negara itu kini diperkukuh dengan teknologi AI, yang memainkan peranan penting dalam menyediakan maklumat berkualiti tinggi bagi sektor maritim dan pertanian.

Pada masa yang sama, pakar WMO memperkenalkan pelaksanaan inisiatif PBB “Amaran Awal untuk Semua” (Early Warnings for All) dan menzahirkan penghargaan atas sumbangan China dalam bidang perkhidmatan iklim.

-- BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan