DUNIA > BERITA

AHLI ENTOMOLOGI: PERUBAHAN IKLIM JADIKAN DENGGI SEMAKIN BERBAHAYA DI BANGLADESH

24/11/2025 05:11 PM

DHAKA, 24 Nov (Bernama-Anadolu) -- Bangladesh melaporkan lapan kematian akibat wabak demam denggi pada Ahad, menjadikan jumlah korban bagi November meningkat kepada 86 orang, angka bulanan tertinggi tahun ini dengan seorang ahli entomologi menyalahkan perubahan iklim, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kematian terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan korban setakat tahun ini meningkat kepada 364 orang, manakala jumlah kes pula meningkat kepada lebih 90,264, dengan 778 pesakit baharu dimasukkan ke hospital. Daripada jumlah itu, 87,442 pesakit telah dibenarkan pulang selepas pulih, menurut Direktorat Am Perkhidmatan Kesihatan Bangladesh (DGHS).

Jangkitan dan kematian kini dilaporkan merebak ke seluruh negara, termasuk bandar Chattogram, Barisal, Mymensingh serta ibu negara Dhaka.

Ahli entomologi dari Universiti Jahangirnagar, Prof Dr Kabirul Bashar memberitahu Anadolu bahawa peningkatan kes jangkitan denggi berpunca daripada perubahan iklim, pengurusan nyamuk yang lemah dan pembandaran tidak terancang.

Musim sejuk di Bangladesh biasanya berlangsung dari Disember hingga Februari, dengan suhu mula menurun pada November.

Hujan lazimnya berkurangan dengan ketara menjelang akhir September, menandakan berakhirnya musim monsun. Namun tahun ini, hujan lebat dan berpanjangan masih berlaku sehingga akhir Oktober, menurut data Jabatan Meteorologi Bangladesh.

“Buat pertama kali dalam rekod, November menjadi bulan ”maut”. Ia (peningkatan kes denggi) adalah disebabkan oleh tempoh hujan. Hujan yang berpanjangan dan lewat, termasuk hujan pada akhir Oktober tahun ini, menyebabkan jumlah jangkitan dan kematian meningkat,” kata Bashar.

Cuaca serta suhu negara itu juga kekal kondusif untuk pembiakan dan kelangsungan nyamuk denggi, tambahnya.

“Situasi denggi tahun ini tidak akan menunjukkan kelegaan besar atau peningkatan ketara. Penurunan ketara dalam kes baharu dijangka hanya bermula Januari tahun depan,” katanya.

Nyamuk pembawa denggi membiak pada suhu antara 20 hingga 30 darjah Celsius. Bangladesh pula mengalami purata suhu yang hampir sama sepanjang tahun. Malah pada musim sejuk, suhu di negara itu kekal menghampiri 20 darjah Celsius, sekali gus mewujudkan keadaan yang terus sesuai untuk denggi, menurut Bashar.

Pada 2023, Bangladesh merekodkan 1,705 kematian akibat denggi daripada 321,179 kes yang disahkan, menjadikannya wabak terburuk pernah dialami negara itu, menurut DGHS.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan