SONGKHLA, 1 Dis (Bernama) -- Hampir 10,000 anggota daripada pelbagai pihak telah digerakkan bagi kerja pemulihan bandar Hat Yai pascabanjir besar yang melanda sejak 22 Nov lalu.
Jurucakap ISOC-4, Kolonel Yuttanam Pechmuang, berkata kerja-kerja pembersihan dan pemulihan bermula sejak 29 Nov lepas mengikut empat zon utama, dengan kerjasama pelbagai kementerian, jabatan kerajaan, pasukan pertahanan, syarikat swasta, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),
“Pelbagai jentera berat turut dikerah bagi membersihkan bangkai haiwan serta objek yang bertaburan di jalan raya untuk memastikan kelancaran pergerakan bantuan,” katanya.
“Kami akan mempercepat proses pemulihan agar Hat Yai kembali beroperasi seperti biasa secepat mungkin. Kerajaan Thailand juga sedang menyalurkan bayaran pampasan kepada penduduk terjejas dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Selain kerja pembersihan, Yuttanam berkata operasi turut merangkumi perkhidmatan rawatan kesihatan, pengagihan makanan panas dan makanan kering, serta penyediaan bekalan air bersih di semua zon pemulihan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla, Dr Sitthipong Sitthiprapha, menjangkakan kerugian mencecah 10 bilion baht berikutan banjir yang merosakkan harta benda serta pusat-pusat pelancongan di Hat Yai.
Beliau berkata penduduk dan pengusaha, khususnya di Hat Yai, masih belum dapat pulang ke kediaman serta premis mereka kerana kemusnahan teruk dan kerja pembaikan yang masih dijalankan.
“Saya telah dihubungi Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan maklumat mengenai hotel-hotel yang masih boleh beroperasi bagi dijadikan penempatan sementara mangsa banjir.
“Pada masa ini, hanya 20 daripada 300 hotel di Hat Yai yang masih boleh beroperasi, dan kebanyakannya telah disewa penuh oleh pegawai yang bertugas dalam operasi pemulihan,” katanya.
Sitthipong menjangkakan kerja pemulihan akan mengambil masa antara dua hingga tiga bulan sebelum semua hotel dapat beroperasi semula.
Menurut pihak berkuasa Thailand, banjir buruk di selatan Thailand telah meragut 145 nyawa dan menjejaskan kira-kira 3.54 juta penduduk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial