DUNIA > BERITA

SINGAPURA BANYAK BERGANTUNG PADA DOKTOR TEMPATAN - MENTERI KESIHATAN

01/12/2025 07:35 PM

Oleh Hasnah Jusid

SINGAPURA, 1 Dis (Bernama) -- Singapura menolak dakwaan bahawa negara itu cuba melakukan pengambilan doktor dan jururawat Malaysia untuk mengisi kekurangan tenaga kerja dalam sistem penjagaan kesihatan awamnya.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata Singapura bergantung terutamanya kepada tenaga kerja perubatannya sendiri, sambil menambah bahawa doktor Malaysia hanya membentuk minoriti kecil manakala selebihnya datang dari pelbagai negara termasuk United Kingdom (UK) dan India.

“Tidak tinggi sama sekali. Saya tidak mempunyai angka bersama saya, tetapi seperti yang saya nyatakan, lebih 90 peratus doktor kami adalah rakyat tempatan,” katanya ketika menjawab soalan media Malaysia pada sesi bual biacara santai bersama peserta Program Lawatan Wartawan Malaysia (MJVP) yang diadakan di sini baru-baru ini.

Walaupun Singapura ada melakukan pengambilan doktor luar negara sekali-sekala, beliau menegaskan bahawa mereka hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan tenaga kerja perubatan.

“Dari semasa ke semasa, kami melakukan pengambilan doktor luar negara, termasuk dari UK, India, Malaysia, tetapi mereka hanya sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan,” katanya, sambil menambah bahawa insiden baru-baru ini melibatkan ejen pengambilan tenaga kerja mungkin berpunca daripada tindakan yang “terlalu bersemangat”.

Ye Kung dipercayai merujuk kepada satu usaha pengambilan yang dilakukan oleh sebuah agensi swasta yang dikatakan lebih agresif daripada proses rasmi dalam usaha mendapatkan khidmat profesional penjagaan kesihatan dari luar negara.

Ong berkata strategi tenaga kerja penjagaan kesihatan Singapura dibina berdasarkan pelaburan jangka panjang dalam kapasiti latihan tempatan.

Beliau berkata Singapura kini mengendalikan tiga sekolah perubatan, iaitu di Universiti Nasional Singapura (NUS), Sekolah Perubatan Duke-NUS dan Sekolah Perubatan Lee Kong Chian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), yang bekerjasama dengan Imperial College London.

“Tiga sekolah perubatan nasional ini menghasilkan kira-kira 550 doktor setiap tahun. Ramai rakyat Singapura juga belajar dalam bidang perubatan di luar negara, dan kami mahu mereka kembali berkhidmat. Jadi secara keseluruhannya, kami bergantung pada tenaga kerja perubatan kami sendiri,” katanya.

Ketika diitanya di mana doktor dan jururawat Malaysia bekerja dalam sistem Singapura, Ong berkata dalam sektor penjagaan kesihatan Singapura, kira-kira 90 peratus pesakit dalam – iaitu, mereka di hospital – dirawat dalam sektor awam. Memandangkan komposisi ini, sebahagian besar perkhidmatan penjagaan kesihatan disediakan oleh hospital awam.”

Beliau menegaskan bahawa Singapura dan Malaysia harus mengelak daripada melihat penjagaan kesihatan sebagai isu persaingan.

“Ini adalah bidang yang kita boleh usahakan bersama. Rakyat Singapura pergi ke Malaysia untuk perkhidmatan tertentu yang lebih berpatutan, terutamanya dengan hubungan Johor-Singapura yang semakin kukuh. Kedua-dua pihak menunjukkan banyak persefahaman,” katanya.

Ong turut mengakui bahawa Singapura berdepan persaingan daripada negara lain yang berusaha mendapatkan khidmat doktor yang dilatih di negara itu.

“Penjagaan kesihatan ialah bidang yang menyaksikan persaingan global untuk mendapatkan bakat. Sebahagian doktor kami diambil bekerja ke Australia, New Zealand, UK atau AS. Ini realiti beroperasi dalam dunia moden,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan