Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 3 Dis (Bernama) -- Penanaman popi candu di Myanmar meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh sedekad, daripada 45,200 hektar kepada 53,100 hektar – peningkatan kira-kira 17 peratus berbanding tahun lalu.
Laporan terbaharu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) turut menyatakan Myanmar kekal sebagai sumber utama pengeluaran candu secara haram di dunia dengan anggaran pengeluaran sebanyak 1,010 tan metrik pada tahun ini.
“Didorong oleh konflik yang semakin memuncak, keperluan untuk terus hidup serta tarikan kenaikan harga, petani tertarik kepada penanaman popi.
“Peningkatan yang kita lihat sejak tahun lalu akan memberi implikasi besar terhadap masa depan Myanmar,” kata Wakil UNODC bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Delphine Schantz, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Laporan bertajuk "Myanmar Opium Survey 2025: Cultivation, Production, and Implications" itu dikeluarkan pada Rabu.
Angka terbaharu menunjukkan Myanmar telah mengatasi Afghanistan sebagai sumber utama pengeluaran candu secara haram di dunia. Penanaman popi di Afghanistan menurun 20 peratus selepas larangan pengeluaran candu pada 2022 di bawah pentadbiran Taliban, menurut laporan UNODC pada November. Pengeluaran candu Myanmar kini dua kali ganda berbanding Afghanistan.
Sejak rampasan kuasa tentera Myanmar pada 2021, negara itu bergelut dengan cabaran sosial dan ekonomi yang menyebabkan hampir 3.6 juta penduduk hilang tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Trend dalam penanaman candu yang menunjukkan peningkatan sejak 2020 dikaitkan dengan harga narkotik itu yang meningkat dua kali ganda serta keadaan ekonomi yang teruk, memaksa petani yang kekurangan wang menanam pokok popi.
Pada 2019, harga candu mentah ialah RM186 (US$45) sekilogram. Harga pasaran hari ini ialah RM1,357 (US$329) – peningkatan sebanyak 127 peratus.
“Selagi sumber mata pencarian alternatif yang berdaya maju tidak diwujudkan, kitaran kemiskinan dan kebergantungan terhadap penanaman haram hanya akan menjadi lebih mendalam.
“Apa yang berlaku di negara itu akan membentuk pasaran dadah di rantau ini dan bahkan di luar rantau ini serta memerlukan tindakan segera,” kata Schantz.
Laporan itu dikeluarkan ketika kerajaan tentera sedang bersiap untuk mengadakan pilihan raya pada 28 Disember ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial