KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan Malaysia telah menaik taraf sebuah klinik di Pusat Tahfiz Ma’had Tafaqquh, Riau, Indonesia yang dinamakan sebagai Klinik Madani untuk manfaat para pelajar dan guru serta masyarakat setempat.
Konsulat Malaysia Pekanbaru dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan projek menaik taraf klinik sedia ada di pusat tahfiz itu yang bermula Julai lepas, siap sepenuhnya pada 25 Nov dan menelan kos keseluruhan 89 juta Rupiah (RM22,100).
Projek itu dibiayai oleh Tabung Strategik Hubungan Malaysia-Indonesia dikelolakan Kementerian Luar.
Sebelum ini, sebuah asrama yang terletak di pekarangan pusat tahfiz itu digunakan untuk merawat 370 orang pelajar serta 70 guru dan pegawai.
Klinik itu kini dilengkapi dengan kemudahan tambahan seperti lobi, ruang konsultasi doktor, ruang kecemasan, ruang perawatan inap, farmasi, ruang tunggu, bilik air umum, bilik air pesakit serta surau khusus untuk pesakit.
Konsul Malaysia di Pekanbaru, Mohammed Hosnie Shahiran Ismail telah menyerahkan Klinik Madani kepada pengasas Pusat Tahfiz Ma’had Tafaqquh, Dr Mustafa Umar dalam satu majlis penyerahan kunci pada Selasa (2 Dis).
Beliau berkata usaha menaik taraf klinik itu lahir dari sifat ihsan yang merupakan salah satu teras penting yang dipegang oleh Kerajaan Malaysia MADANI.
“Justeru, nama Klinik Madani dipilih bagi mencerminkan nilai murni dan kepedulian Kerajaan Malaysia terhadap saudara-mara serumpun di Provinsi Riau,” menurut kenyataan itu.
Beliau berharap klinik itu akan memberi manfaat kepada para pelajar Ma’had Tafaqquh dan masyarakat setempat apabila mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Indonesia kelak.
Pusat Tahfiz Ma’had Tafaqquh telah dibangunkan di Desa Lubuk Sakat, Kampar, Riau di atas tanah seluas 14 hektar dan mula beroperasi pada tahun 2018.
Konsulat Malaysia di Pekanbaru ditubuhkan pada 1983 dan bertanggungjawab menjaga kepentingan Malaysia di Provinsi Riau dan Provinsi Kepulauan Riau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial