TOKYO, 9 Dis (Bernama-Xinhua) -- Agensi cuaca Jepun menarik balik amaran tsunami bagi kawasan pantai wilayah Aomori, Iwate dan Hokkaido awal Selasa, beberapa jam selepas gempa bumi bermagnitud awal 7.5 melanda timur laut negara itu, lapor Xinhua.
Gegaran kuat itu berlaku pada 11.15 malam waktu tempatan pada Isnin, di luar pantai Pasifik Aomori pada kedalaman 54 kilometer, dan mencatatkan intensiti enam atas pada skala seismik Jepun tujuh mata di beberapa kawasan di Aomori, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Kira-kira tiga jam setengah selepas gempa melanda, amaran tsunami diturunkan kepada nasihat keselamatan. Pada 6.20 pagi waktu tempatan Selasa, semua nasihat tsunami bagi kawasan pesisir Pasifik telah ditarik balik.
JMA, yang menyemak magnitud gempa daripada 7.6 kepada 7.5, memberi amaran kemungkinan tsunami setinggi sehingga tiga meter selepas gegaran itu. Tsunami tertinggi yang dicatatkan ialah kira-kira 70 sentimeter di Pelabuhan Kuji di wilayah Iwate.
Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi berkata pada Selasa bahawa 30 orang cedera dalam gempa kuat itu, sambil memberi amaran kemungkinan berlaku satu lagi gempa dengan magnitud sama atau lebih kuat di kawasan pesisir Pasifik.
Agensi cuaca itu turut mengeluarkan amaran kemungkinan gempa besar susulan gempa Isnin, dengan menyatakan terdapat kemungkinan satu dalam 100 bahawa gempa bermagnitud 8 atau lebih besar boleh berlaku dalam tempoh tujuh hari.
Pejabat Kabinet menyeru orang ramai supaya mengekalkan kesiapsiagaan khas sekurang-kurangnya selama seminggu, termasuk memastikan kit bekalan kecemasan mudah dicapai sekiranya perlu berpindah pada bila-bila masa.
Kedutaan China di Jepun mengeluarkan notis awal Selasa, menggesa rakyat China di negara itu supaya berwaspada dan memantau maklumat terkini mengenai gempa bumi, amaran cuaca dan maklumat pencegahan bencana.
Di Aomori dan Hokkaido, lebih 10 kecederaan dilaporkan, termasuk sekurang-kurangnya satu kes serius di Hidaka, Hokkaido, dengan tiada kematian setakat ini.
Kerajaan wilayah Aomori berkata kira-kira 2,700 rumah mengalami gangguan bekalan elektrik, lapor Kyodo News.
Tiada keabnormalan dilaporkan di loji tenaga nuklear di Hokkaido atau wilayah timur laut Aomori, Miyagi dan Fukushima, menurut laporan itu.
Perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen dihentikan antara stesen Fukushima dan Shin-Aomori, menurut operator JR East. Sebuah kereta api laju yang membawa 94 penumpang turut terkandas seketika di Aomori.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial