DUNIA > BERITA

JEPUN ALIH TUMPUAN KE INDIA UNTUK BEKALAN TENAGA KERJA PENGASUH

14/12/2025 04:35 PM

TOKYO, 14 Dis (Bernama-Kyodo) – Pekerja kesihatan India kini menjadi tumpuan Jepun sebagai sumber tenaga kerja pengasuh yang berpotensi, dengan harapan akses tenaga kerja dari negara paling ramai penduduk itu mampu membantu mengatasi kekurangan pekerja dalam sektor berkenaan, lapor Kyodo News.

Pembekal penjagaan utama Sompo Care Inc. meningkatkan usaha melatih pengasuh dari India, membantu mereka memperoleh kelayakan kebangsaan Jepun serta menggalakkan mereka membina kerjaya jangka panjang di negara yang sedang menghadapi penurunan kadar kelahiran dan penuaan populasi itu.

Sejak 2024, syarikat itu telah merekrut warganegara India yang mempunyai latar belakang kejururawatan dan memberikan latihan sekitar sembilan bulan dalam Bahasa Jepun serta kemahiran penjagaan sebelum membawa mereka ke negara ini. Tahun ini, kumpulan pertama seramai enam pelatih tiba di Jepun dengan visa pekerja mahir tertentu.

Syarikat itu kini menggaji kira-kira 300 pekerja asing, kebanyakannya dari Filipina dan Myanmar.

"Kami tidak memberi layanan berbeza kepada pekerja Jepun dan asing, jadi mereka yang menunjukkan prestasi baik boleh menyasarkan jawatan pengurusan," kata Mitsuru Sakoda, ketua pejabat perniagaan luar negara firma itu.

Seorang daripada enam warga India yang direkrut oleh Sompo Care, Rincy George membantu warga emas di sebuah rumah penjagaan di Taito Ward, Tokyo. Beliau sebelum ini bekerja sebagai jururawat di negaranya, tetapi gaji rendah dan kekurangan peluang pekerjaan mendorongnya mencari pilihan lain.

"Jepun adalah selamat dan mempunyai banyak peluang pekerjaan. Saya ingin menjadi pengasuh bertauliah pada masa depan," kata wanita berusia 25 tahun itu.

Berdasarkan anggaran kerajaan, Jepun dijangka menghadapi kekurangan 570,000 pekerja penjagaan menjelang tahun fiskal 2040 akibat penuaan populasinya. Program Pekerja Mahir Tertentu dilancarkan pada 2019 untuk membawa masuk warga asing yang sudah mempunyai kemahiran dalam pelbagai sektor untuk mula bekerja serta-merta.

Sehingga akhir Jun 2025, kira-kira 54,000 warga asing di bawah status mastautin ini bekerja dalam sektor penjagaan, dengan warganegara Indonesia, Vietnam dan Myanmar mewakili kira-kira 70 peratus.

Warga India, yang pengambilan mereka bermula sepenuhnya sekitar 2022, berjumlah kira-kira 300 orang, tetapi angka itu menunjukkan lonjakan 73 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dengan populasi 1.4 bilion dan kesediaan umum untuk berhijrah ke luar negara demi pekerjaan, kerajaan tempatan di Jepun juga mula menunjukkan minat terhadap India, yang pekerjanya terkenal dengan keterbukaan terhadap pembelajaran bahasa dan kemahiran komunikasi yang baik.

Kerajaan Wilayah Shizuoka di tengah Jepun telah mengadakan seminar untuk pembekal pekerja penjagaan bagi mendalami pemahaman tentang pengasuh India, manakala Kerajaan Wilayah Ibaraki di timur telah menganjurkan lawatan ke sekolah Bahasa Jepun dan organisasi perekrutan di India.

Makoto Kato, penyelidik kanan di Mitsubishi UFJ Research and Consulting Co., mengakui potensi masa depan India tetapi menekankan bahawa "Jepun perlu mempamerkan kekuatan kerjaya pengasuhan sebagai laluan kerjaya yang stabil, sambil memperbaiki persekitaran keseluruhan untuk pekerja asing."

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan