NAIROBI, 16 Dis (Bernama-dpa) -- Sudan yang dilanda peperangan, lokasi menempatkan krisis pelarian dalaman terburuk di dunia, sekali lagi menduduki tempat teratas dalam Senarai Pemantauan Kecemasan tahunan senarai negara yang dijangka menyaksikan keadaan kemanusiaan semakin merosot pada tahun mendatang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Senarai yang diterbitkan pada Selasa oleh Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) itu mengenal pasti 20 negara paling berisiko pada 2026.
Sudan berada di kedudukan pertama untuk tahun ketiga berturut-turut. Semenanjung Gaza dan Tebing Barat - wilayah Palestin yang dikelompokkan bersama oleh IRC berada di tempat kedua, diikuti Sudan Selatan.
Perang saudara di Sudan, yang tercetus pada April 2023, masih terperangkap dalam kebuntuan keganasan tanpa sebarang prospek jelas untuk meredakan konflik.
Kepungan memutuskan seluruh bandar daripada bantuan kemanusiaan, manakala peningkatan lanjut pertempuran antara Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dan Angkatan Tentera Sudan (SAF) berisiko merebakkan keganasan ke kawasan lain di negara itu, menurut IRC.
Jutaan penduduk Sudan terdedah kepada keganasan melampau, kebuluran dan penyakit, menurut kumpulan bantuan itu dalam laporan bertajuk “Kekacauan Dunia Baharu.”
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyifatkan konflik di Sudan, yang bermula pada April 2023, sebagai krisis kemanusiaan terbesar di dunia. Pertempuran menyebabkan kira-kira 12 juta orang kehilangan tempat tinggal, manakala setiap saat penduduk diancam kelaparan.
“Senarai Pemantauan tahun ini bukan setakat bukti penderitaan namun juga satu amaran: tanpa tindakan segera daripada pihak yang mempunyai kuasa untuk membawa perubahan, 2026 berisiko menjadi tahun paling berbahaya setakat ini,” kata Presiden IRC David Miliband.
--BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial