DUNIA > BERITA

MALAYSIA-INDONESIA RAI SETAHUN KEMAJUAN DAN PERKONGSIAN PADA 2025

26/12/2025 11:22 AM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Tahun 2025 menyaksikan hubungan Indonesia-Malaysia mencapai tahap baharu, yang diserlahkan menerusi Rundingan Tahunan ke-13 di Istana Merdeka, Jakarta, iaitu yang pertama sejak 2017 di Kuching, Sarawak.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengadakan lima lawatan ke Malaysia sepanjang tahun ini, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula melawat Indonesia dua kali, termasuk bagi Rundingan Tahunan pada Julai, sekali gus mengukuhkan penglibatan diplomatik peringkat tertinggi.

Rundingan itu memperkukuh kerjasama merangkumi bidang politik, ekonomi, keselamatan, sempadan serta hubungan rakyat dengan rakyat, dengan sesi seterusnya dijadualkan berlangsung di Malaysia pada 2026.

Pertukaran dua hala turut berkembang pesat apabila lebih tiga juta rakyat Indonesia melawat Malaysia, manakala hubungan pendidikan terus diperkukuh dengan lebih 11,400 pelajar Indonesia menuntut di Malaysia dan lebih 1,100 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di Indonesia.

Dalam usaha memajukan pemuliharaan alam sekitar dan terus mengukuhkan hubungan Malaysia-Indonesia, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bersama Universitas Nasional menanam 10,000 anak benih bakau di Kampung Bahari Nusantara, Banten.

Kedutaan itu, dengan kerjasama Pondok Pesantren Lirboyo, Jawa Timur, turut menganjurkan “Forum Malaysia MADANI dan Fikih Kebangsaan” bagi meneroka nilai bersama dalam pembinaan negara, tadbir urus serta tanggungjawab sosial.

Di peringkat domestik, Indonesia melalui landskap politik yang dinamik, termasuk protes meluas berhubung tekanan ekonomi antara Ogos dan September, yang mendorong kerajaan mengkaji semula elaun ahli parlimen.

Rombakan Kabinet menyaksikan Purbaya Yudhi Sadewa dilantik sebagai Menteri Kewangan menggantikan Sri Mulyani Indrawati, sekali gus menandakan kemungkinan perubahan dalam dasar fiskal dan strategi ekonomi.

Program Makanan Berkhasiat Percuma turut dilancarkan bagi menyediakan makanan kepada lebih 80 juta pelajar, wanita hamil dan golongan rentan tahun ini, dengan matlamat membentuk masyarakat yang lebih sihat dan produktif.

Sementara itu, banjir besar, tanah runtuh dan cuaca ekstrem yang melanda Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Bali mengakibatkan lebih 1,000 kematian, sekali gus menonjolkan kerentanan negara itu terhadap bencana alam.

Di peringkat antarabangsa, Indonesia secara rasmi menyertai BRICS pada Januari, membuka peluang baharu bagi kerjasama ekonomi dan politik dengan negara membangun lain.

Negara itu juga dijadual mengambil alih Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8) mulai 1 Jan 2026, menggantikan Mesir dan akan menerajui pertubuhan itu sehingga 2027.

Pencapaian ini menggariskan pengaruh Indonesia yang semakin meningkat di peringkat serantau dan global, di samping mengukuhkan lagi perkongsian eratnya dengan Malaysia.

Walaupun berdepan bencana alam dan cabaran domestik, Indonesia menunjukkan daya tahan menerusi kepimpinan proaktif, diplomasi serta inisiatif sosial.

Menjelang 2026, kerjasama dua hala dijangka terus diperdalam, hubungan rakyat dengan rakyat diperkukuh, dan penglibatan serantau diteruskan.

Kedua-dua negara kekal komited terhadap kestabilan, kemakmuran dan pencapaian bersama, sambil meraikan setahun kemajuan serta perkongsian yang telah dicapai.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan