DUNIA > BERITA

TRUMP, ZELENSKY DAKWA CAPAI KEMAJUAN DALAM PERBINCANGAN DI FLORIDA

29/12/2025 01:30 PM

WASHINGTON, 29 Dis (Bernama-dpa) -- Pertemuan berprofil tinggi antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky di Florida berakhir tanpa sebarang kejayaan besar pada Ahad, meskipun kedua-dua pemimpin itu mendakwa terdapat kemajuan ke arah mencapai perjanjian damai bagi menamatkan konflik Ukraine-Rusia, lapor agensi berita Jerman dpa.

Pada sidang media selepas pertemuan di kediaman peribadi Trump di Mar-a-Lago, pemimpin AS itu berkata satu perjanjian berkemungkinan dapat dicapai “dalam tempoh beberapa minggu”.

Zelensky pula mengucapkan terima kasih kepada Trump atas “perbincangan yang benar-benar baik” dan berkata pasukan masing-masing akan mengadakan pertemuan dalam beberapa minggu akan datang bagi memuktamadkan semua perkara yang dibincangkan.

Selain itu, Zelensky berkata Trump akan menjadi tuan rumah satu sidang kemuncak bersama pemimpin Eropah di Washington, yang dijangka diadakan pada Januari.

Pertemuan itu berlangsung sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik terbaharu untuk menamatkan perang yang dilancarkan Rusia pada Februari 2022.

Trump sebelum ini berkata beliau percaya Zelensky dan Presiden Rusia Vladimir Putin “benar-benar serius” untuk mencapai perdamaian.

Presiden AS itu turut memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi Putin sekali lagi selepas pertemuannya dengan Zelensky, selepas sebelum ini mengadakan perbualan telefon dengan pemimpin Rusia itu pada Ahad.

Zelensky sejak kebelakangan ini berusaha mendapatkan sokongan Washington bagi rangka kerja 20 perkara, susulan pendedahan cadangan 28 perkara oleh pentadbiran Trump pada akhir November yang menimbulkan kebimbangan Kyiv dan sekutunya kerana dianggap seiring dengan beberapa pendirian Rusia.

Kyiv dan rakan kongsi Eropah kemudiannya bekerjasama merangka pelan alternatif, termasuk menerusi pertemuan di Berlin dan Miami bersama pegawai kanan pentadbiran Trump, sementara Washington turut mengadakan rundingan berasingan dengan Moscow.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan