DUNIA > BERITA

PARTI PEMERINTAH IVORY COAST KUASAI MAJORITI PARLIMEN

30/12/2025 08:24 PM

KIGALI, 30 Dis (Bernama-Anadolu) -- Parti pemerintah Ivory Coast, Rally of Houphouetists for Democracy and Peace (RHDP), berjaya menguasai majoriti dalam pilihan raya parlimen pada Sabtu, dengan memenangi 197 daripada 255 kerusi Perhimpunan Kebangsaan, menurut keputusan rasmi sementara yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas pada Isnin.

Menurut suruhanjaya itu, daripada 8.5 juta pengundi yang berdaftar, peratusan keluar mengundi mencatatkan sebanyak 35.04 peratus, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Parti pembangkang, Democratic Party of Ivory Coast-African Democratic Rally (PDCI-RDA), memenangi 32 kerusi, manakala calon bebas memenangi 23 kerusi.

Parti kecil lain, termasuk parti The Ox - Victory for Development, masing-masing memenangi satu kerusi.

Suruhanjaya melaporkan beberapa insiden terpencil, khususnya di kawasan perbandaran Marcory, iaitu tindakan keganasan telah menyebabkan kemusnahan peti undi di lima pusat mengundi.

Bagaimanapun, suruhanjaya tersebut menyatakan bahawa insiden itu tidak menjejaskan integriti keseluruhan pilihan raya berkenaan. Selaras dengan kod pilihan raya, calon dan parti mempunyai tempoh lima hari untuk mengemukakan sebarang aduan, yang akan diteliti sebelum pengumuman keputusan muktamad oleh mahkamah tertinggi negara itu dalam beberapa hari akan datang.

Pilihan raya parlimen itu diadakan susulan pilihan raya presiden pada Oktober lalu yang dimenangi oleh penyandang jawatan, Presiden Alassane Ouattara.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan