DUNIA > BERITA

SUSPEK SERANGAN DI BONDI BEACH BERTINDAK SENDIRIAN - POLIS AUSTRALIA

30/12/2025 08:30 PM

ISTANBUL, 30 Dis (Bernama-Anadolu) -- Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia Krissy Barrett pada Selasa berkata bahawa pasangan bapa dan anak yang didakwa terlibat dalam insiden tembakan di Bondi Beach, Sydney awal bulan ini bertindak secara bersendirian, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.

Barrett berkata tiada bukti menunjukkan kedua-dua lelaki itu bertindak sebagai sebahagian daripada sel yang lebih besar.

Beliau menyatakan demikian ketika memberikan perkembangan terkini mengenai operasi mencegah keganasan yang dilancarkan susulan serangan pada 14 Dis itu, menurut Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Dalam insiden tembakan yang berlaku semasa sambutan perayaan Hanukkah, seramai 15 orang maut manakala kira-kira 42 yang lain cedera.

Seorang daripada dua suspek serangan itu maut, manakala seorang lagi cedera parah.

Lelaki berusia 24 tahun, Naveed Akram, telah didakwa atas 59 pertuduhan berkaitan insiden tembakan berkenaan, termasuk 15 pertuduhan membunuh.

Barrett berkata kepada media bahawa tiada bukti menunjukkan Naveed dan bapanya, Sajid, diarahkan oleh pihak lain untuk melancarkan serangan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dalam sidang media sama mempertahankan keputusan kerajaannya untuk tidak menubuhkan Suruhanjaya Diraja di peringkat nasional berhubung insiden itu meskipun terdapat gesaan berbuat demikian.

Canberra, menurut beliau kini memberi tumpuan kepada usaha untuk “menyatukan negara”.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan