DUNIA > BERITA

CARI PENDEKATAN HIDUP BERSAMA YANG KONDUSIF, MUSTAHAK BAGI CHINA DAN AS

31/12/2025 05:03 PM

BEIJING, 31 Dis (Bernama-CMG) -- Hubungan China-Amerika Syarikat (AS) adalah antara hubungan dua hala yang paling penting di dunia ini.  Apa yang dipilih China dan AS dalam pelaksanaan strategi boleh membawa impak terhadap perkembangan zaman dalam landskap dunia.

Demikian dinyatakan Menteri Luar China, Wang Yi dalam Seminar Situasi Antarabangsa dan Diplomatik China 2025 di sini pada Selasa.

"Kepentingan negara sendiri, kepentingan keseluruhan dunia dan kepentingan untuk jangka masa panjang merupakan antara faktor-faktor penentu ketika China melihat dan menangani hubungan dengan AS pada sepanjang tahun ini,” kata Wang.

Beliau berkata China secara berprinsip menunjukkan pendirian yang teguh dan sikap yang jelas berhubung sejumlah masalah yang penting, dan tidak pernah bertolak ansur apabila masalah yang melibatkan kepentingan teras negara sendiri disentuh.

"Menyentuh tentang interaksi dan sesi dialog yang diadakan dengan AS yang bertujuan untuk mencari peluang kerjasama, China menekankan lagi betapa pentingnya rundingan dan permuafakatan dalam penyelesaian pertelingkahan, yang juga dilihat kondusif bagi AS mengambil sikap yang rasional dan objektif terhadap China," katanya.

Wang berkata:"Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari AS, Donald Trump pernah berbual melalui telefon sebanyak empat kali dan juga pernah berkomunikasi kerap kali melalui surat .

Dalam tempoh pertemuan di Busan, Korea Selatan tidak lama dahulu, kedua-dua pemimpin ini telah bertukar-tukar pendapat mengenai hubungan dua hala dan isu-isu yang melibatkan kedamaian dan pembangunan dunia, yang dilihat penting bagi China dan AS mendorong hubungan dua hala berkembang ke arah yang betul setelah menempuh jalan yang penuh dengan onak dan ranjau.”

Beliau berkata pengalaman China dan AS pada sepanjang tahun 2025 membuktikan bahawa perkembangan hubungan bilateral yang mantap tidak terlepas daripada pengamalan pelbagai prinsip seperti saling menghormati, hidup bersama secara damai dan kerjasama yang bersifat sama menang.

“Hubungan yang baik boleh membawa manfaat kepada kedua-dua negara malah seluruh dunia, dan sebaliknya hubungan yang buruk hanya boleh menjadikan kedua-dua pihak sama kalah. Mencari pakej penyelesaian yang berkaitan dengan keprihatinan masing-masing dan pendekatan hidup bersama yang kondusif, adalah mustahak bagi kedua-dua negara gergasi ini," kata Wang.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan