DUNIA > BERITA

DATUK BANDAR NEW YORK MAMDANI BATAL PERINTAH EKSEKUTIF TERDAHULU, TERMASUK LANGKAH BERKAITAN ISRAEL

03/01/2026 12:05 PM

ISTANBUL, 2 Jan (Bernama-Anadolu) -- Pada hari pertama memegang jawatan, Datuk Bandar New York  Zohran Mamdani menandatangani perintah eksekutif bagi membatalkan siri arahan yang dikeluarkan oleh pendahulunya, Eric Adams, termasuk langkah-langkah yang sebelum ini dikemukakan sebagai sokongan kepada Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).

Menurut perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Mamdani pada Khamis, semua arahan yang ditandatangani pada atau selepas 26 Sept 2024, dan masih berkuat kuasa sehingga 31 Dis 2025 adalah dibatalkan, manakala perintah eksekutif terdahulu kekal berkuat kuasa melainkan dipinda atau dimansuhkan.

Langkah itu secara berkesan membatalkan beberapa perintah yang ditandatangani oleh bekas Datuk Bandar Eric Adams, termasuk satu perintah diterima pakai bulan lepas yang melarang agensi bandar raya daripada memboikot atau menarik balik pelaburan dari Israel.

Satu lagi arahan ditandatangani pada Jun dibatalkan, yang menyokong definisi luas mengenai antisemitisme serta mengklasifikasikan bentuk kritikan tertentu terhadap Israel sebagai antisemitisme.

Bagaimanapun, Mamdani tidak membubarkan Pejabat Memerangi Antisemitisme bandar raya itu yang ditubuhkan oleh pentadbiran terdahulu dan ia akan terus beroperasi.

Perintah itu juga menyatakan bahawa ia tidak menjejaskan perintah eksekutif kecemasan yang sedang berkuat kuasa.

Menurut The New York Times, Pengarah Eksekutif Kesatuan Kebebasan Awam New York, Donna Lieberman berkata perintah yang dibatalkan itu dilihat sebagai langkah saat akhir yang bertujuan menyekat sudut pandangan yang tidak dipersetujui oleh datuk bandar terdahulu.

Beliau menambah bahawa "bukan satu kejutan" apabila pentadbiran baharu bertindak membatalkannya.

"Hak untuk kebebasan bersuara tidak bergantung kepada sudut pandangan anda, dan itu adalah benar bagi ucapan mengenai Israel atau Gaza, benar bagi aktivisme politik mengenai konflik itu, dan benar bagi mana-mana isu politik lain yang kita hadapi," katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan