Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 3 Jan (Bernama) -- Lembaga kriket India mengarahkan sebuah pasukan dalam kejohanan Liga Perdana India (IPL) supaya menggugurkan pembaling laju Bangladesh, Mustafizur Rahman, susulan "perkembangan terkini" yang melibatkan kedua-dua negara.
Pasukan Kolkata Knight Riders (KKR) mengesahkan bahawa mereka telah melepaskan pemain itu daripada skuad bagi edisi IPL 2026 seperti yang diarahkan oleh badan kawal selia itu.
“Pelepasan itu dilakukan mengikut proses dan rundingan sewajarnya, atas arahan Lembaga Kawalan Kriket di India (BCCI),” kata KKR dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mustafizur Rahman sebelum ini pernah beraksi untuk beberapa francais IPL lain seperti Chennai Super Kings, Sunrisers Hyderabad, Mumbai Indians dan Delhi Capitals dalam musim-musim terdahulu bagi pertandingan kriket Twenty20 anjuran BCCI itu.
KKR memperoleh pemain berusia 30 tahun itu dengan nilai 92 juta rupee (kira-kira US$1 juta) dalam satu proses bidaan pada Disember bagi menghadapi edisi ke-19 IPL yang dijadualkan bermula pada 26 Mac ini.
Setiausaha BCCI Devajit Saikia memberitahu media India bahawa badan kawal selia itu meminta KKR melepaskan pemain Bangladesh berkenaan “disebabkan perkembangan terkini”.
Pada Disember lepas, kedua-dua negara saling memanggil diplomat tertinggi masing-masing susulan protes yang berlaku di luar misi diplomatik mereka.
Hubungan antara India dan Bangladesh dilaporkan menjadi dingin sejak bekas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina melarikan diri ke India pada Ogos 2024 selepas digulingkan dalam satu kebangkitan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial