DUNIA > BERITA

KOREA SELATAN INGIN RAPATKAN LAGI HUBUNGAN DAGANG DENGAN CHINA

05/01/2026 02:32 PM

BEIJING, 5 Jan (Bernama-CMG) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung berkata hubungan ekonomi dan perdagangan antara Korea Selatan dengan China amat rapat, dan wujud banyak faktor yang bermanfaat bagi pertumbuhan ekonomi masing-masing.

"Saya percaya lawatan saya ke China kali ini pasti akan mendorong hubungan kedua-dua negara memasuki fasa pembangunan baharu," kata Lee ketika ditemu bual Kumpulan Media China (CMG) menjelang lawatan beliau ke China, baru-baru ini.

Pada 4 hingga 7 Jan ini, Presiden Lee Jae-myung akan melakukan lawatan sulungnya ke China, dengan mengetuai delegasi perdagangan besar yang terdiri lebih 200 anggota.

"Di bawah pimpinan Presiden Xi Jinping, China telah mencapai pembangunan besar dalam bidang ekonomi, dan dalam beberapa sektor teknologi dan modal telah mencapai tahap sama malah mendahului Korea Selatan," kata Lee.

Beliau juga merancang untuk mencorak hubungan ekonomi yang saling menguntungkan dengan China, berasaskan pembinaan kolabrasi sama rata, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan industri berteknologi canggih.

Lee Jae-myung banyak kali melakukan lawatan ke China semasa beliau memegang jawatan Datuk Bandar Seongnam dan Gobenor provinsi Gyeonggi. Beliau memberi penilaian tinggi terhadap daya inovasi dan pembangunan berkualiti tinggi di China.

"Pembangunan di China amat pesat. Setiap kali datang ke China, saya berasa seolah-olah berada di dunia baharu," kata Lee.

Beliau berpendapat bahawa China mempunyai keupayaan hebat dalam mengatasi krisis dan menjadikannya peluang. Beliau turut memberi penilaian tinggi terhadap langkah China yang mempromosikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi.

"Trend itu dipercayai akan dikekalkan dan diperkuat. Saya menanti-nantikan kerjasama dengan China dalam bidang berkenaan dan ini pasti akan membawa peluang besar kepada Korea Selatan," kata beliau.

-- BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan