ISTANBUL, 5 Jan (Bernama-Anadolu) -- Sebanyak 26 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pada lewat Ahad menyeru semua pihak supaya bertenang dan menahan diri, serta menggesa agar undang-undang antarabangsa dihormati susulan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Venezuela baru-baru ini, lapor Anadolu Ajansi.
“EU menggesa semua pihak supaya bertenang dan menahan diri bagi mengelakkan ketegangan serta memastikan penyelesaian damai terhadap krisis itu. EU mengingatkan bahawa dalam apa jua keadaan, prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti didukung,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas.
Kenyataan itu, yang disokong oleh 26 negara anggota kecuali Hungary, turut mengingatkan anggota Majlis Keselamatan PBB mengenai “tanggungjawab khusus” mereka untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa sebagai “tonggak kepada seni bina keselamatan antarabangsa”.
“EU telah berulang kali menyatakan bahawa (Presiden Venezuela yang ditangkap) Nicolas Maduro tidak mempunyai legitimasi sebagai presiden yang dipilih secara demokratik dan menggesa peralihan secara aman yang diterajui oleh rakyat Venezuela, dengan menghormati kedaulatan negara itu. Hak rakyat Venezuela untuk menentukan masa depan mereka sendiri mesti dihormati,” menurut kenyataan itu.
Ia turut menekankan keperluan untuk menangani dan memerangi “jenayah terancang rentas sempadan dan pengedaran dadah” menerusi kerjasama berterusan, “dengan menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa serta prinsip keutuhan wilayah dan kedaulatan”.
“Kami sedang berhubung rapat dengan Amerika Syarikat, serta rakan kongsi serantau dan antarabangsa, bagi menyokong dan memudah cara dialog dengan semua pihak yang terlibat ke arah penyelesaian krisis secara rundingan, demokratik, inklusif dan aman, yang dipimpin oleh rakyat Venezuela,” menurut kenyataan itu.
EU turut menggesa agar tekad rakyat Venezuela untuk “memulihkan demokrasi dan menyelesaikan krisis semasa” dihormati.
“Kemua tahanan politik yang kini ditahan di Venezuela mesti dibebaskan tanpa syarat. Pihak berkuasa konsular negara anggota EU sedang bekerjasama rapat bagi melindungi keselamatan warga EU, termasuk mereka yang ditahan secara tidak sah di Venezuela,” tambah kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden Donald Trump berkata tindakan ketenteraan AS di Venezuela telah menyebabkan penangkapan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, selain berikrar untuk menguatkuasakan kawalan Amerika ke atas negara itu buat sementara waktu, termasuk menggunakan tentera AS jika perlu.
Maduro dan Flores tiba di New York pada lewat Sabtu dan kini ditahan di sebuah pusat tahanan di Brooklyn. Mereka berdepan pertuduhan persekutuan AS berkaitan pengedaran dadah dan dakwaan bekerjasama dengan kumpulan yang ditetapkan sebagai organisasi pengganas.
Maduro menafikan semua tuduhan berkenaan, manakala pegawai di ibu negara Venezuela, Caracas, menggesa agar pasangan itu dibebaskan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial