KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menyalurkan bantuan musim sejuk kepada lebih 35,000 pelarian Palestin yang menetap di Kem Al Marka, Jordan menerusi inisiatif Tabung Kasih Johor-Palestin.
Presidennya Jismi Johari berkata bantuan berupa barangan makanan asas, pakaian musim sejuk dan selimut tebal disalurkan di kem yang ditubuhkan selepas tragedi Nakba 1948 itu dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA).
Bantuan itu merupakan sebahagian daripada Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin 3.0 diterajui Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bagi meneruskan solidariti rakyat Johor terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Ini bukan hanya bantuan fizikal, ia adalah tanda kasih dan solidariti rakyat Malaysia yang sentiasa bersama Palestin.
“MAHAR berbesar hati melaksanakan amanah ini di lapangan dan kami akan terus menjadi jambatan antara rakyat Malaysia dan mereka yang memerlukan, segala misi bantuan Johor-Palestin adalah dibawah kerangka inisiatif Ops Ihsan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
MAHAR bersama delegasi rasmi dari Johor yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid turut berpeluang menyaksikan sendiri keadaan pelarian serta proses pengagihan bantuan kepada penduduk di kem tersebut.
Jismi berkata MAHAR akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, negeri dan antarabangsa demi memastikan bantuan disampaikan secara telus, cekap dan berintegriti.
Tabung Kasih Johor-Palestin masih dibuka untuk sumbangan orang ramai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial