DUNIA > BERITA

BAR DI SWITZERLAND TIDAK JALANI PEMERIKSAAN KESELAMATAN SEBELUM KEBAKARAN MAUT

06/01/2026 09:31 PM

GENEVA, 6 Jan (Bernama-dpa) -- Tiada pemeriksaan keselamatan kebakaran dijalankan selama lima tahun di bar yang menjadi lokasi kebakaran besar sehingga mengorbankan 40 nyawa di pusat peranginan ski Crans-Montana, Switzerland, kata datuk bandar pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Datuk Bandar Crans-Montana Nicolas Feraud berkata tiada sebarang pemeriksaan dilakukan antara 2020 hingga 2025. Pada 2025, hanya satu penilaian akustik dijalankan dan tiada isu dikenal pasti, katanya.

Penilaian akustik merujuk kepada penilaian tahap bunyi, kebisingan atau getaran dalam sesuatu ruang bangunan.

“Kami amat kesal dengan perkara ini,” kata Feraud. Beliau berkata semasa pemeriksaan pada 2019 dan sebelumnya, bahan penebat pada siling tidak pernah dikenal pasti sebagai satu masalah.

Lesen operasi bagi sebuah restoran kedua yang dikendalikan oleh pemilik yang sama di Crans-Montana kini ditarik balik.

Penyiasat percaya tragedi di bar popular Le Constellation semasa sambutan Malam Tahun Baharu itu dicetuskan oleh bunga api yang mencetuskan kebakaran bahan penebat buih pada siling. Api merebak dengan pantas di dalam bar yang sesak, menyebabkan ramai pengunjung terperangkap di dalamnya.

Selain 40 kematian, seramai 116 orang cedera, kebanyakannya parah. Ramai mangsa melecur kini menerima rawatan di luar negara.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan