RAMALLAH, 6 Jan (Bernama-WAFA) -- Jawatankuasa Presiden Tertinggi bagi Hal Ehwal Gereja di Palestin (HCC) mengeluarkan rayuan segera kepada gereja di seluruh dunia agar melindungi kerja-kerja kemanusiaan di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) merangkap Ketua HCC, Dr Ramzi Khouri, dalam mesej yang ditujukan kepada gereja dunia berkata rayuan itu dibuat ketika berlakunya perkembangan yang amat berbahaya dan mencabar teras nilai kemanusiaan serta misi gereja.
Beliau menjelaskan perkembangan itu dizahirkan melalui tindakan menyasarkan secara sistematik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang beroperasi di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis, menerusi keputusan menggantung, mengharamkan dan menamatkan pendaftaran.
Menurutnya, langkah berkenaan telah menjejaskan 37 institusi kemanusiaan, termasuk organisasi yang mempunyai misi Kristian yang jelas dan sejak sekian lama menjadi talian hayat kepada ratusan ribu orang awam yang terkepung.
Khouri berkata apa yang sedang berlaku di Gaza kini bukan sekadar sekatan terhadap kerja kemanusiaan, sebaliknya satu usaha sistematik untuk menyalahkan usaha bantuan serta melumpuhkan institusi yang mengekalkan kelangsungan hidup pada tahap minimum dalam keadaan kepungan, peperangan dan keruntuhan menyeluruh.
Beliau menegaskan bahawa sikap berdiam diri pada saat ini tidak boleh ditafsirkan sebagai berkecuali, sebaliknya dianggap sebagai pengabaian moral.
Katanya, menghalang kerja kemanusiaan dan menyalahkan usaha bantuan ketika keperluan bagi ratusan trak bantuan setiap hari telah didokumenkan, merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta bercanggah dengan ajaran Kristian yang meletakkan maruah manusia sebagai teras mesejnya.
Beliau turut merayu gereja di seluruh dunia supaya menyatakan pendirian jelas menolak tindakan menyasarkan dan mengharamkan NGO antarabangsa, memberi tekanan moral serta antarabangsa bagi membuka pintu sempadan dan memastikan kemasukan bantuan dalam jumlah kemanusiaan yang diperlukan, serta berdiri bersama Gaza bukan sekadar dengan kata-kata tetapi melalui tindakan yang menterjemahkan iman kepada perbuatan.
-- BERNAMA-WAFA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial