DUNIA > BERITA

PELANCONGAN, PENDIDIKAN FOKUS KEDUTAAN MALAYSIA DI UZBEKISTAN BAGI 2026

07/01/2026 12:43 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Uzbekistan menetapkan sektor pelancongan dan pendidikan sebagai fokus utama dalam meningkatkan hubungan dua hala Malaysia dan negara Asia Tengah itu bagi tahun ini.

Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Tajikistan, Ilham Tuah Illias berkata fokus berkenaan adalah selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dan penerbangan terus Tashkent-Langkawi oleh Batik Air yang mula diperkenalkan sejak Disember 2025.

“Saya dimaklumkan sehingga pertengahan Februari, penerbangan  terus Batik Air dari Tashkent ke Langkawi sudah penuh ditempah. Penerbangan itu mendapat sambutan hangat kerana pelancong dari Uzbekistan ingin menikmati keindahan pantai Langkawi memandangkan negara mereka tidak mempunyai pesisir pantai,” katanya kepada Bernama. 

Ilham Tuah kini berada di Malaysia selepas menyertai penerbangan sulung Tashkent - Langkawi pada 14 Dis lalu. 

Ketika ini, terdapat tiga syarikat penerbangan yang menghubungkan Tashkent ke Kuala Lumpur secara terus iaitu Uzbekistan Airways, Batik Air dan Air Asia X dengan kekerapan penerbangan lapan kali seminggu.

Kedutaan Malaysia di Uzbekistan dan pejabat Tourism Malaysia di Almaty sentiasa giat mempromosikan sektor pelancongan di pasaran Uzbekistan bagi meningkatkan kemasukan pelawat Malaysia dari rantau itu. 

Bagi sektor pendidikan, Ilham Tuah berkata pihaknya akan meningkatkan promosi pelbagai institusi pengajian tinggi yang terdapat di Malaysia, terutamanya negeri di utara Semenanjung sebagai destinasi pengajian pilihan untuk masyarakat Uzbekistan. 

Kewujudan penerbangan terus Tashkent-Langkawi dijangka akan menggalakkan keluarga para pelajar Uzbekistan untuk melawat mereka di Malaysia sambil melancong, katanya.

Ilham Tuah berkata setakat Mac 2025, terdapat lebih 600 pelajar Uzbekistan melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta tempatan dan beliau berhasrat untuk meningkatkan angka itu tahun ini.

Menurut Kedutaan Uzbekistan di Malaysia, jumlah itu kini telah meningkat kepada lebih 1,000 pelajar.

Sementara itu, Tourism Malaysia dalam kenyataan sempena penerbangan sulung Batik Air bagi laluan Tashkent-Langkawi bulan lalu memaklumkan ketibaan pelawat dari Uzbekistan ke Malaysia menunjukkan angka yang menggalakkan, dengan 15,495 pelawat direkodkan antara Januari hingga Oktober 2025.

Menurut kenyataan itu, pengenalan laluan terus mingguan baharu berkenaan dijangka akan terus meningkatkan ketibaan pelawat dari pasaran sedang pesat membangun itu, sekali gus memperkukuh keterhubungan antarabangsa serta membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan pertukaran budaya.

Kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur, dalam maklum balas kepada pertanyaan Bernama, berkata bahawa semasa musim sejuk yang berlangsung dari Disember hingga Februari, ramai rakyat Uzbekistan memilih untuk melancong ke destinasi seperti Langkawi yang terkenal dengan pantai cerah dan cuaca panas.

“Penerbangan terus Batik Air membolehkan penduduk Uzbekistan dan negara jiran seperti Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Turkmenistan di Asia Tengah, malah dari Rusia, untuk melakukan perjalanan melalui Tashkent ke Langkawi.

“Pada masa yang sama, ramai rakyat Malaysia, khususnya yang menetap di negeri utara Semenanjung Malaysia, yang ingin melihat salji dan menikmati aktiviti ski di pergunungan pada musim sejuk kini boleh mengunjungi Pergunungan Chimgan, yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Tashkent,” menurut kenyataan itu.

Menurut kedutaan berkenaan, Uzbekistan dan Malaysia telah mencatatkan peningkatan ketibaan pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan lebih 11,000 pelancong Malaysia melawat Uzbekistan pada 2025, dan jumlah itu dijangka terus meningkat tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan