WASHINGTON, 10 Jan (Bernama-dpa) -- Protes terhadap Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) berterusan pada Jumaat susulan insiden tembakan yang mengakibatkan kematian seorang wanita berusia 37 tahun di Minneapolis, dengan demonstrasi kini merebak ke beberapa negeri lain di Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut laporan media, puluhan pelajar menyertai perhimpunan di Minneapolis di negeri Minnesota bagi membantah kehadiran pegawai ICE. Untuk cuti hujung minggu ini, ratusan protes dan perhimpunan di seluruh negara dengan slogan “ICE Out For Good” telah diumumkan.
Sebuah gabungan organisasi hak sivil dan migran menyeru penganjuran acara berkenaan, sambil menyatakan tindakan itu bertujuan untuk kekal aman serta menumpukan kepada bantahan terhadap peningkatan keganasan oleh pihak berkuasa ICE, selain operasi mereka di komuniti tempatan dan sekolah.
Renee Good, seorang warganegara AS berusia 37 tahun, maut ditembak di dalam keretanya ketika operasi ICE pada Rabu. Insiden pembunuhan itu yang dirakam menerusi video, mencetuskan bantahan meluas di seluruh negara. Siasatan terhadap kejadian berkenaan masih dijalankan.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, operasi ICE yang membabitkan kira-kira 2,000 pegawai persekutuan sedang berlangsung di kawasan Minneapolis–St Paul sejak beberapa hari lalu.
Datuk Bandar Minneapolis Jacob Frey mengulangi kritikannya terhadap ICE pada sidang media pada Jumaat, dengan menyatakan agensi itu menjejaskan ekonomi tempatan, demokrasi dan keselamatan awam. Beliau menggesa siasatan yang menyeluruh dan telus dilakukan dengan melibatkan agensi penguatkuasaan undang-undang negeri Minnesota.
Jabatan Kehakiman AS telah menugaskan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk mengetuai siasatan berkenaan. Presiden AS Donald Trump berkata kerajaan persekutuan tidak akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Minnesota.
Trump telah memperketat dasar pengusiran semasa penggal kedua pentadbirannya, dan operasi ICE di bandar-bandar yang diterajui Demokrat sebelum ini turut mencetuskan protes.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial