DUNIA > BERITA

SEORANG MAUT, DARURAT BENCANA DIISYTIHAR SUSULAN KEBAKARAN BELUKAR DI TENGGARA AUSTRALIA

10/01/2026 09:13 PM

MELBOURNE, 10 Jan (Bernama-Xinhua) -- Seorang lelaki maut manakala darurat bencana diisytiharkan di Victoria berikutan kebakaran belukar yang sedang melanda negeri di tenggara Australia itu, lapor agensi berita Xinhua.

Premier Victoria, Jacinta Allan dalam satu sidang media berkata mayat lelaki berusia 60-an itu ditemukan di dalam keretanya berhampiran Bandar Harcourt, kira-kira 110 kilometer (km) ke barat laut Melbourne pada petang Jumaat.

Kematian mangsa tidak berkaitan secara langsung dengan kebakaran itu, namun ia berlaku di kawasan yang berhampiran dengan lokasi kebakaran, kata Allan.

Sementara itu, tiga individu yang dilaporkan hilang pada Jumaat selepas rumah mereka berhampiran Bandar Longwood, 120 km ke utara Melbourne musnah dalam kebakaran paling teruk di negeri itu, telah ditemukan dalam keadaan selamat.

Pihak berkuasa bomba tempatan memaklumkan tiga anggota bomba turut mengalami kecederaan ketika sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.

Menurut Allan, setakat pagi Sabtu, terdapat 10 kebakaran besar sedang marak di seluruh Victoria, manakala 20 lagi sedang dipantau rapi oleh pihak berkuasa.

Sebanyak 200 kebakaran dilaporkan berlaku di seluruh Victoria pada Jumaat apabila suhu melebihi 40 darjah Celsius. Allan berkata setakat Sabtu, pihak berkuasa menganggarkan lebih 300,000 hektar kawasan telah musnah terbakar, manakala 38,000 premis kediaman dan perniagaan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Walaupun suhu menurun pada Sabtu, pihak berkuasa memberi amaran bahawa angin kencang akan terus menyebabkan api merebak secara tidak menentu.

Pihak berkuasa pengurusan kecemasan pada Sabtu menyatakan sekurang-kurangnya 120 struktur di seluruh negeri Victoria musnah, selain melibatkan kerugian besar haiwan ternakan.

Kerajaan negeri telah mengisytiharkan darurat bencana bagi 19 kawasan, yang membolehkan pihak berkuasa mengambil alih harta persendirian bagi tujuan menangani kebakaran, mengawal pergerakan serta mengarahkan pemindahan wajib.

--BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan