DUNIA > BERITA

FORUM MEDIA SAUDI 2026 HIMPUN 300 PEMIMPIN MEDIA GLOBAL DI RIYADH

12/01/2026 07:21 PM

RIYADH, 12 Jan (Bernama) -- Forum Media Saudi (SMF) 2026, yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Feb di Riyadh, akan menghimpunkan lebih 300 pemimpin media global berprofil tinggi dalam lebih 100 sesi dialog, sekali gus menyerlahkan peranan Arab Saudi sebagai hab dialog media antarabangsa yang semakin berkembang.

Edisi kelima forum itu, yang diadakan di bawah naungan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, akan menjadi platform penting untuk mengupas masa depan industri media dalam menghadapi transformasi teknologi, politik dan sosial yang pesat, menurut SMF dalam kenyataan.

“Edisi kelima ini mengukuhkan kedudukannya sebagai acara penting dalam tahun transformasi media, menghimpunkan pemikir media terkemuka untuk membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi sektor ini serta cara menyesuaikan diri dengan dunia yang berubah dengan pantas.

“Forum ini menawarkan peluang luar biasa untuk berinteraksi dan mendalami budaya Arab Saudi yang kaya dan berakar umbi, sekali gus mengukuhkan peranan Kerajaan sebagai hab serantau dan global bagi dialog media, inovasi dan penciptaan kandungan,” menurut kenyataan itu.

Antara tema utama yang akan dibincangkan termasuk peranan pakatan dan kerjasama media dalam membentuk pendapat umum global, serta persilangan antara analisis politik dan diplomasi awam dalam mempengaruhi naratif berkaitan Timur Tengah.

Program itu turut meneliti peranan media dalam menjelaskan dan menyokong transformasi sosial serta ekonomi utama, di samping strategi memerangi maklumat salah, meningkatkan pengesahan digital dan mengukuhkan kepercayaan awam dalam era lambakan maklumat.

Sesi lain memberi tumpuan kepada strategi pertumbuhan dalam pasaran media yang semakin sesak, hubungan yang terus berkembang antara televisyen tradisional dan platform penstriman, serta tahap kesiapsiagaan profesional media untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran digital yang berubah pantas.

Perbincangan berkaitan ekonomi pula akan meneliti industri media sebagai bentuk kuasa lembut, peluang mewujudkan kerjasama media yang mampan, dan daya maju pelaburan media dalam kerangka Visi Saudi 2030.

Tarikan utama edisi 2026 adalah pelancaran “Boulevard 2030”, ruang khas berhampiran Pameran Masa Depan Media (FOMEX) yang mempamerkan pencapaian program Visi Saudi 2030 dan projek mega utama Arab Saudi termasuk Diriyah Gate, AlUla, Projek Laut Merah dan Qiddiya, tambah kenyataan itu.

Forum itu turut memperluas Anugerah Media Saudi merangkumi empat landasan utama dengan 14 kategori, termasuk pengenalan kategori kandungan jana kecerdasan buatan (AI), yang disifatkan sebagai yang pertama di dunia dalam ekosistem anugerah media profesional.

Selain forum, FOMEX akan menghimpunkan agensi kerajaan serta syarikat tempatan dan antarabangsa untuk mempamerkan inovasi media terkini, memudahcara perkongsian strategik dan menganjurkan perbincangan peringkat tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Forum Media Saudi sebagai acara penting dalam tahun transformasi media yang signifikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan