ISTANBUL, 12 Jan (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen berkata negara itu kini berdepan "detik penentuan" susulan ancaman berterusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengambil alih Greenland, lapor Anadolu Ajansi (AA)
"Kita pada persimpangan, dan ini ialah detik penentuan," katanya.
Frederiksen membuat kenyataan itu semasa sesi bahas pada perjumpaan Tahun Baharu Parti Liberal Sosial di Bandar Nyborg, Denmark pada Ahad ketika beliau ditanya mengenai sama ada Copenhagen mempunyai rancangan konkrit jika AS menggunakan kekuatan tentera terhadap Greenland.
Beliau enggan membincangkan langkah kontingensi khusus, menyatakan bahawa situasi itu mesti ditangani pada peringkat dasar, menurut penyiar berita Danish lapor DR.
“Apa yang dipertaruhkan adalah lebih besar daripada apa yang dapat dilihat oleh mata kasar, kerana jika apa yang kita alami daripada pihak Amerika ialah sesuatu pihak itu sebenarnya membelakangi pakatan Barat, membelakangi kerjasama NATO dengan mengancam sekutu, sesuatu yang belum pernah kita alami sebelum ini, maka segala-galanya terhenti di situ,” katanya.
Trump sebelum ini berkata Washington akan "melakukan sesuatu tentang Greenland," memberi amaran bahawa jika ia tidak berlaku "dengan cara mudah", ia akan berlaku dengan "cara sukar" dan mendakwa bahawa China atau Rusia sebaliknya boleh mengambil alih pulau Artik itu.
Frederiksen juga menyebut mengenai pertemuan yang dirancang antara menteri luar AS, Denmark dan Greenland bertujuan untuk menyatakan dengan tegas pendirian Kerajaan Denmark.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial