DUNIA > BERITA

UGANDA ADAKAN PILIHAN RAYA PRESIDEN DAN PARLIMEN

15/01/2026 06:56 PM

ISTANBUL/KAMPALA (Uganda), 15 Jan (Bernama-Anadolu) -- Rakyat Uganda pada Khamis mula mengundi dalam pilihan raya presiden dan parlimen, yang dianggap sebagai ujian penting terhadap pemerintahan puluhan tahun Presiden Yoweri Museveni, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Proses pengundian bermula pada 7 pagi waktu tempatan (0400GMT) dan dijadual berakhir pada 4 petang (1300GMT).

Museveni, 81, yang telah memerintah Uganda sejak 1986, sedang mempertahankan penggal ketujuhnya.

Beliau berdepan tujuh pencabar, termasuk pemimpin pembangkang berusia 43 tahun, Robert Kyagulanyi atau Bobi Wine, bintang reggae yang beralih menjadi ahli politik, yang muncul sebagai pencabar utama dalam pilihan raya 2021.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Simon Byabakama memberitahu media tempatan pada Selasa bahawa beliau akan mengumumkan keputusan dalam tempoh 48 jam selepas pengundian ditutup, selaras undang-undang negara.

“Apa yang diputuskan pengundi itulah yang akan saya umumkan kepada negara; merekalah yang menentukan presiden, bukan saya,” katanya.

Di beberapa kawasan Kampala dan sekitarnya yang dilaporkan wartawan Anadolu, pengundi dilihat beratur panjang di pusat mengundi, walaupun proses pengundian lewat bermula kerana menunggu ketibaan bahan pilihan raya.

Pilihan raya presiden Uganda menggunakan sistem dua pusingan, dengan pusingan kedua diadakan jika tiada calon memperoleh lebih 50 peratus undi.

Parlimen Uganda mempunyai 556 ahli, termasuk 353 ahli yang dipilih secara langsung, 146 wakil wanita daerah, 30 wakil tentera, belia, pekerja, warga emas dan orang kurang upaya, serta 27 ahli ex-officio seperti naib presiden dan menteri yang tidak mempunyai hak mengundi.

Seramai 21.6 juta pengundi berdaftar layak mengundi kali ini, meningkat daripada 18.1 juta pada 2021.

Sepanjang kempen, terdapat sekatan terhadap perhimpunan dan liputan media, dengan langkah keselamatan diperketatkan di seluruh negara.

Pengundian berlangsung dalam suasana sekatan komunikasi awam yang dikenakan sepanjang tempoh pilihan raya.

Menurut satu notifikasi bertarikh Selasa, Suruhanjaya Komunikasi Uganda (UCC) mengarahkan “penggantungan sementara” akses Internet awam dan beberapa perkhidmatan mudah alih sepanjang tempoh pilihan raya.

Pengawal selia itu berkata penggantungan bermula pada 6 petang waktu tempatan (1500GMT) pada Selasa, bertujuan “melindungi keselamatan awam, fungsi kritikal negara dan integriti operasi infrastruktur komunikasi.”

Dalam kenyataan menerusi X pada Rabu, UCC berkata langkah itu diambil atas syor Jawatankuasa Keselamatan Antara Agensi dan terpakai kepada semua pengendali berlesen.

“Langkah ini diambil bagi mengekang penularan cepat maklumat salah dan maklumat mengelirukan, mengurangkan risiko penipuan pilihan raya dan mencegah hasutan keganasan, yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, keselamatan negara dan integriti proses pilihan raya,” katanya.

Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu berkata penggantungan 10 organisasi bukan kerajaan serta sekatan akses Internet sebelum pilihan raya amat membimbangkan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan