DUNIA > BERITA

KETUA PERTAHANAN JEPUN, AS SAHKAN PAKATAN DUA HALA TIDAK GOYAH

16/01/2026 02:33 PM

WASHINGTON, 16 Jan (Bernama-Kyodo) -- Ketua pertahanan Jepun dan Amerika Syarikat pada Khamis bersetuju untuk mengukuhkan keupayaan pencegahan dan tindak balas pakatan dua hala itu ketika wujud kebimbangan di Asia bahawa tumpuan Washington semakin beralih daripada rantau itu, lapor Kyodo News.

“Kami mengesahkan bahawa pakatan Jepun-AS kekal tidak goyah sepenuhnya dan kedua-dua negara bekerjasama rapat,” kata Menteri Pertahanan Jepun Shinjiro Koizumi kepada pemberita selepas pertemuannya dengan Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth di Pentagon.

Koizumi berkata beliau diyakinkan bahawa AS kekal komited terhadap keamanan dan kestabilan di Indo-Pasifik, walaupun pentadbiran Presiden Donald Trump menetapkan Hemisfera Barat sebagai keutamaan utama.

Walaupun Trump meremehkan aktiviti ketenteraan China di sekitar Taiwan, pentadbirannya sedang berusaha mengukuhkan kedudukan AS di Amerika Utara dan Selatan serta perairan sekitarnya, seperti dibuktikan menerusi campur tangan baru-baru ini di Venezuela dan minat terhadap Greenland.

Di beberapa ibu negara Asia, peningkatan tumpuan Trump terhadap Hemisfera Barat telah menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan penurunan penglibatan AS di Indo-Pasifik, sekali gus mewujudkan kekosongan keselamatan ketika China mempercepatkan pembangunan ketenteraannya.

“Tugas dan matlamat kami di sini ialah terus... mengukuhkan perkara itu dalam setiap cara yang mungkin,” kata Hegseth ketika memulakan rundingan, merujuk kepada pakatan keselamatan yang terjalin selama beberapa dekad.

Hegseth pada masa sama memuji ketegasan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan Tokyo.

Menurut Koizumi, Hegseth tidak meminta Jepun meningkatkan perbelanjaan pertahanannya semasa pertemuan yang berlangsung kira-kira 50 minit itu.

Koizumi berkata beliau memaklumkan Hegseth bahawa Jepun akan melakukan yang terbaik untuk memperkukuh keupayaan pertahanannya dan pakatan berkenaan.

Ketika bertemu media pada sebelah malam, Koizumi mendedahkan bahawa beliau turut mengadakan pertemuan baik secara berasingan dengan Naib Presiden AS JD Vance.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan