DUNIA > BERITA

MYANMAR NAFI TUDUHAN GENOSID ROHINGYA DI MAHKAMAH ICJ

17/01/2026 09:14 PM

ISTANBUL, 17 Jan (Bernama-Anadolu) -- Myanmar pada Jumaat menafikan tuduhan ia melakukan genosid terhadap minoriti Muslim Rohingya dalam kes yang difailkan oleh Gambia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Pendirian tegas Myanmar ialah Gambia gagal memenuhi beban pembuktian. Kes ini akan diputuskan berdasarkan fakta yang dibuktikan, bukan pendakwaan tanpa asas,” kata wakil Myanmar, Ko Ko Hlaing, kepada badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Gambia membawa kes itu pada November 2019, menuduh Myanmar melanggar “Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.”

Pada Khamis, mahkamah mendengar hujah pasukan perundangan Gambia mengenai siasatan bahawa pegawai tentera Myanmar menghasut keganasan melalui ucapan kebencian.

ICJ akan meneruskan pendengaran awam sehingga 29 Jan mengenai dakwaan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap minoriti Muslim Rohingya.

Sebanyak 11 negara - Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Belanda, United Kingdom, Maldives, Slovenia, Republik Demokratik Congo, Belgium dan Ireland - memfailkan pengisytiharan campur tangan.

Minoriti Muslim Rohingya telah lama menderita akibat penindasan di negeri Rakhine, Myanmar, dengan pihak berkuasa dituduh melakukan genosid.

Kira-kira satu juta orang telah melarikan diri ke Bangladesh sejak 2017.

-- BERNAMA-Anadolu


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan