DUNIA > BERITA

EKONOMI CHINA CECAH RMB140 TRILION PADA 2025, TUMBUH 5 PERATUS

19/01/2026 03:32 PM

BEIJING, 19 Jan (Bernama-CMG) -- Ekonomi China mencatatkan pertumbuhan positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 mencecah RMB140.19 trilion (kira-kira RM81.67 trilion), meningkat lima peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut pengiraan awal Biro Statistik Negara (NBS).

Ketua Pengarah NBS Kang Yi dalam sidang media pada Isnin menyatakan bahawa sasaran utama pembangunan sosioekonomi telah dicapai pada tahun lepas, sekali gus menandakan penutupan yang sempurna bagi pelaksanaan Rancangan Lima Tahun ke-14 (2020-2025).

Menurut data NBS, prestasi memberangsangkan itu turut disokong oleh peningkatan pendapatan boleh guna perkapita rakyat yang kini mencecah RMB43,377 (RM25,270), iaitu kenaikan sebanyak lima peratus.

Dalam pada itu, pengeluaran industri turut mencatat pertumbuhan kukuh, khususnya dalam sektor pembuatan kelengkapan dan peralatan serta pembuatan berteknologi tinggi. Nilai tambah industri berskala besar meningkat 5.9 peratus.

Indeks harga pengguna (CPI) pula kekal stabil pada 2025, tanpa perubahan berbanding tahun sebelumnya.

Menurut NBS, pengeluaran bijirin di seluruh China merekodkan 714.88 juta tan pada 2025, meningkat 8.38 juta tan, iaitu peningkatan sebanyak 1.2 peratus.

NBS turut melaporkan bahawa aktiviti jualan terus berkembang, dengan jualan runcit perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan lebih pesat.

Jumlah jualan runcit barangan pengguna pada 2025 mencecah RMB50.12 trilion (RM29.2 trilion), naik 3.7 peratus berbanding tahun sebelumnya manakala jualan runcit dalam talian mencapai RMB15.97 trilion (RM9.3 trilion), iaitu peningkatan 8.6 peratus.

--BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan