DUNIA > BERITA

23 DUTA KECIL MALAYSIA GALAS MISI BUDAYA KE AMERIKA SYARIKAT

20/01/2026 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Keterujaan jelas terpancar di wajah 23 pelajar yang bakal menjadi duta kecil Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang bagi menyertai Program Kennedy-Lugar Youth Exchange & Study  (KL-YES) 2026.

Kesemua remaja terpilih dalam kohort terakhir program yang diadakan sejak 22 tahun lepas itu merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang akan menetap bersama keluarga angkat serta mengikuti pembelajaran selama enam bulan di AS sehingga Jun 2026, sekali gus berperanan sebagai jambatan diplomatik antara Malaysia dan AS.

Seorang daripada peserta, Ahmad Hakimi Ahmad Sharizan, pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka yang bakal ditempatkan di Buxton, Maine, berkata usia muda dan jarak jauh tidak menjadi penghalang untuk menimba pengalaman baharu di negara asing.

Anak kelahiran Johor itu berkata beliau tekad untuk keluar daripada zon selesa dan menyahut cabaran berkenaan untuk menonjolkan keunikan budaya serta keharmonian masyarakat berbilang kaum Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya mahu menunjukkan kepada masyarakat di sana (AS) bagaimana Malaysia dapat mengekalkan keharmonian dan menjaga sensitiviti antara kaum tanpa menimbulkan sebarang konflik.

“Perasaan takut itu sentiasa ada, namun saya percaya kita perlu keluar dari zon selesa untuk belajar. Ini peluang sekali seumur hidup dan saya mahu merasai sendiri pengalaman tinggal dan belajar di AS seawal usia 18 tahun,” katanya kepada Bernama.

Neoh Sher Meng, pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Heng Ee, Pulau Pinang, turut meluahkan keterujaannya untuk memperkenalkan kepelbagaian juadah tradisional kebanggaan rakyat Malaysia yang lahir daripada keunikan budaya dan kaum di negara ini.

“Saya berharap usaha ini dapat menjadi satu cara untuk saya memberi kembali kepada masyarakat yang telah membentuk diri saya hari ini,” katanya yang bakal ditempatkan di Sierra Vista, Arizona.

Sementara itu, bapa kepada Ahmad Hakimi, Ahmad Shahrizan Mohamad Esman berkata walaupun berat untuk melepaskan anak sulungnya itu, beliau melihat peluang itu sebagai ruang untuk remaja itu menyerlah dan menimba pengalaman berharga pada usia muda.

“Sebagai bapa, saya memang berasa agak berdebar pada mulanya memandangkan Hakimi akan ke AS buat pertama kali dan jaraknya pula agak jauh. Namun, saya melihatnya sebagai seorang duta dan wakil Malaysia yang membawa nama baik negara,” katanya.

Ibu kepada Neoh, Siok Swee Ching, turut mengakui kebimbangannya terhadap keselamatan anak tunggalnya itu, namun berasa lega selepas mengadakan sesi pertemuan secara dalam talian bersama keluarga angkat anaknya di AS.

“Walaupun saya sebagai seorang ibu kadang-kala berasa takut, tapi melihat ketabahan dan keberaniannya membuatkan saya yakin dia mampu menyesuaikan diri dengan baik di Arizona,” katanya.

Sejak dilancarkan secara rasmi pada 2004, lebih 800 pelajar Malaysia telah mengikuti program pertukaran pelajar peringkat sekolah menengah yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan AS melalui Kedutaan AS di Malaysia dengan kerjasama Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Perwakilan AS David H. Gamble berkata program itu merupakan sebuah pengalaman pembelajaran bermakna untuk pelajar Malaysia memandangkan kedua-dua negara menawarkan pendekatan pendidikan berbeza yang akan membantu melahirkan individu lengkap dan boleh menyumbang kepada Malaysia.   

Berucap semasa majlis pelepasan peserta pada Selasa, Gamble berkata sistem pendidikan Malaysia sebagai “mendalam dan khusus” sambil menambah sistem Amerika adalah “luas”  dan menumpukan kepada menghubungkan antara pelbagai disiplin.

“Satu gabungan yang menarik, dan saya amat teruja untuk anda semua, bukan hanya untuk apa yang anda boleh buat di Amerika, tetapi apa yang anda akan lakukan apabila anda pulang dan menggabungkan kedua-dua pengalaman ini. Hubungan sesama insan adalah keutamaan dalam hubungan kita,” katanya. 

Pengarah Kebangsaan Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia Kuhan Kandiah Chelvanathan berkata proses pemilihan pelajar bagi program itu adalah sangat kompetitif dan ketat, merangkumi penilaian kecemerlangan akademik, karakter serta pengetahuan am mengenai Malaysia.

“Mereka bukan sahaja perlu memahami kaum sendiri, tetapi juga kaum lain seperti India, Cina, Kadazan, Iban dan lain-lain kerana mereka adalah duta kecil negara. Matlamat utama adalah untuk menunjukkan kepada dunia bagaimana rakyat berbilang agama di Malaysia mampu hidup bersama secara harmoni,” katanya.

Beliau berkata KL-YES merupakan inisiatif Kerajaan AS selepas peristiwa 11 September 2001 bagi membina persefahaman dengan masyarakat Islam di seluruh dunia, dan Malaysia dipilih sebagai antara negara terawal berikutan keunikan masyarakatnya yang hidup aman walaupun berbeza kaum dan agama.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan