KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Aisling Professional Development, cabang penyelesaian bakat Aisling Group Malaysia, mengumumkan pakatan penting dengan IIT Madras Global Research Foundation (IITM Global), entiti milik penuh Indian Institute of Technology, Madras.
Kerjasama strategik itu menandakan pelancaran program teknologi maklumat dan teknologi digital profesional bertauliah IITM Global di Malaysia, yang direka untuk mewujudkan ekosistem teknologi tinggi setempat yang tertumpu pada penyampaian penyelidikan kecerdasan buatan (AI) bertaraf dunia, keusahawanan teknologi mendalam serta keupayaan digital berdaulat yang penting.
Pengarah Lembaga Aisling Group Akhil Gupta berkata kerjasama itu merupakan pengubah keadaan bagi pertumbuhan strategik Malaysia.
“Ia akan memanfaatkan enjin syarikat pemula teknologi mendalam IIT Madras bagi mewujudkan rangkaian peluang pelaburan nyata, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau untuk inovasi kalis masa depan,” katanya pada majlis pelancaran kerjasama itu pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIT Madras Global Thirumalai Madhavnarayan berkata institusi itu diiktiraf di peringkat antarabangsa atas kecemerlangan dalam inovasi diterajui penyelidikan, keusahawanan dan program akademik serta pembangunan kemahiran berimpak tinggi.
“Kami teruja bekerjasama dengan Aisling Group dan membawa model penyelidikan dan inovasi kami ke Malaysia. Kerjasama ini akan membantu mewujudkan ekosistem penyelidikan dan inovasi yang kukuh, selaras dengan Visi Digital negara, memenuhi keperluan industri tempatan, merancakkan syarikat pemula teknologi mendalam dan memperkasa masa depan digital Malaysia,” katanya.
Pelancaran kerjasama itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital Malaysia, Fabian Bigar serta Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy.
Dalam ucapannya, Fabian berkata pakatan strategik itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, menarik pelaburan antarabangsa dan mengukuhkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekonomi digital global.
“Kerjasama ini merupakan langkah besar ke hadapan dalam memajukan Inisiatif Strategik Digital Nasional (NDI), yang berusaha meletakkan Malaysia sebagai hab serantau terkemuka bagi inovasi dan pertumbuhan dipacu teknologi.
“Melalui perkongsian ini, negara berhasrat untuk melahirkan generasi baharu bakat digital berkemahiran tinggi yang mampu memacu transformasi ekonomi secara mampan,” katanya.
Dalam satu kenyataan, Pengasas Aisling Group Melissa Norman berkata menerusi kerjasama dengan IITM Global, kumpulan itu berhasrat untuk membangunkan keupayaan bakat tempatan dan seterusnya mengubah kedudukan Malaysia daripada pengguna teknologi kepada pembangun dan pengeksport penyelesaian teknologi mendalam, sambil menekankan keperluan kritikal terhadap kepakaran pembangunan tempatan.
Usaha itu bertujuan membawa Malaysia melangkaui “import teknologi” tradisional yang dibangunkan dan dimiliki oleh syarikat asing, bagi meningkatkan Keupayaan Berdaulat Malaysia untuk memastikan negara memiliki kemahiran kritikal dan harta intelek (IP) yang diperlukan untuk menerajui era AI.
Dengan melengkapkan golongan profesional dengan set kemahiran bernilai tinggi, perkongsian itu akan menyumbang kepada usaha Malaysia mencapai sasaran mewujudkan antara 300,000 hingga 500,000 pekerjaan baharu dalam ekosistem teknologi digital menjelang 2030, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Tindakan Digital Malaysia 2030.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial