DUNIA > BERITA

KUNJUNGAN DUTA AUSTRIA KE BERNAMA PERKUKUH PENGLIBATAN, PERSEFAHAMAN

22/01/2026 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Duta Austria ke Malaysia Gerhard Eisl pada Khamis melawat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi memperkukuh penglibatan dan persefahaman.

Eisl dan pegawainya disambut di ibu pejabat agensi berita itu oleh Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Shukri Ishak.

Eisl kemudian diberikan taklimat mengenai peranan dinamik agensi itu serta operasi dan produknya.

Mereka juga saling bertukar pandangan mengenai industri media, khususnya peranan media baharu dan alat pendigitalan transformatif dalam membentuk persekitaran media masa kini.

Turut dibincangkan keberadaan syarikat Austria dan penglibatan kedutaan itu di negara ini.

Malaysia dan Austria menjalin hubungan diplomatik pada 6 Ogos 1962, dan sejak itu, kedua-dua negara menyaksikan kemajuan luar biasa dalam semua bidang kerjasama termasuk pertukaran lawatan peringkat tinggi.

Pada masa ini terdapat kira-kira 60 syarikat Austria beroperasi di Malaysia, dengan majoriti daripadanya dalam industri bernilai tinggi termasuk semikonduktor, teknologi termaju, kereta dan produk pengguna gaya hidup.

Antaranya AT&S, Doppelmayr, Andritz AG, Softwareq, KTM Motorcycles, MAM dan Swarovski. 

Menurut laporan, eksport Austria ke Malaysia mencecah €737 juta (RM3.5 bilion) manakala pelaburan langsungnya di sini mencatatkan rekod baharu €2.2 bilion (RM10.5 bilion) pada 2024, menjadikan Malaysia sebagai destinasi perdagangan utama Austria di ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan