DUNIA > BERITA

PRABOWO SIFATKAN LEMBAGA KEAMANAN LANGKAH POSITIF BAGI RAKYAT PALESTIN

23/01/2026 06:11 PM

JAKARTA, 23 Jan (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyifatkan pemeteraian piagam Lembaga Keamanan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebagai detik bersejarah, serta menzahirkan harapan agar ia dapat membantu memperbaiki keadaan dan mencapai penyelesaian kekal bagi rakyat Palestin.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa lembaga itu akan mewujudkan peluang tulen untuk mencapai keamanan di Gaza.

“Jelas sekali, penderitaan penduduk Gaza telah berkurangan, malah berkurangan dengan ketara. Bantuan kemanusiaan sedang mengalir masuk dengan banyak dan dalam jumlah yang besar.

“Saya amat berharap, dan Indonesia bersedia untuk mengambil bahagian, bagi sesiapa sahaja yang mencari keamanan di sana, sesiapa sahaja yang berhasrat membantu penduduk Gaza dan rakyat Palestin,” katanya.

Prabowo berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai beberapa negara lain untuk menandatangani dokumen penubuhan lembaga itu bersama Trump pada Forum Ekonomi Dunia 2026 di Davos, Switzerland pada Khamis. Video kenyataan beliau dikongsi melalui YouTube.

Piagam itu turut ditandatangani oleh Hungary, Bahrain, Maghribi, Argentina, Armenia, Azerbaijan, Bulgaria, Mesir, Jordan, Kazakhstan, Kosovo, Mongolia, Pakistan, Paraguay, Qatar, Arab Saudi, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu dan Uzbekistan.

 Sementara itu, Menteri Luar Sugiono berkata penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan  mewakili langkah strategik, membina dan konkrit dalam menyokong kemerdekaan Palestin serta mencari jalan penyelesaian konflik di Gaza dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata Indonesia berharap susulan penubuhan lembaga itu, pintu sempadan Rafah akan dibuka dalam tempoh seminggu bagi membolehkan bantuan kemanusiaan melaluinya, selain penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa.

“Ini merupakan sebahagian daripada proses lebih luas yang bertujuan untuk mencapai keamanan di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan video yang dikongsi kepada media pada Jumaat.

Sugiono turut mengulangi pendirian Indonesia bahawa penyelesaian dua negara yang realistik mesti dilaksanakan.

“Kemerdekaan Palestin dan penghormatan terhadap kedaulatan Palestin adalah prinsip yang kami pegang secara konsisten. Lembaga Keamanan mewakili alternatif konkrit pada masa ini yang kami harap dapat membantu merealisasikan aspirasi itu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan