DUNIA > BERITA

PERPADUAN ASEAN, KESELAMATAN MARITIM, ISU MYANMAR BENTUK FOKUS MALAYSIA UNTUK 2026

24/01/2026 12:27 PM

PUTRAJAYA, 24 Jan (Bernama) -- Malaysia akan memperkukuh usaha bagi memantapkan perpaduan ASEAN, kerjasama keselamatan maritim dan penglibatan serantau dalam isu Myanmar ketika Filipina menggalas peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2026, kata Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Bercakap pada taklimat media menjelang sesi Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Cebu, Filipina pada 28–29 Jan ini, beliau berkata Malaysia melihat keutamaan Filipina sebagai kesinambungan semula jadi kepada penyampaian utama dan bidang penekanan yang dimajukan semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Malaysia katanya, mengalu-alukan hasrat Manila untuk membina asas itu dan meneruskan usaha berkenaan pada tahun depan.

“Kami akan terus menekankan kepentingan memperkukuh Kepusatan ASEAN, perpaduan dan kesepaduan bagi memastikan ASEAN kekal sebagai peneraju seni bina serantau, khususnya ketika persaingan strategik semakin sengit.

“Mengukuhkan asas dan kredibiliti ASEAN, berteraskan Piagam ASEAN, Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) dan undang-undang antarabangsa kekal penting untuk memastikan blok ini sebagai platform serantau berasaskan peraturan, berpandangan ke luar dan dipercayai,” katanya.

Mengenai keselamatan maritim, Amran berkata Malaysia menyokong usaha serantau yang berterusan untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan kebebasan navigasi, sambil menambah bahawa kerjasama maritim dan pembinaan keyakinan perlu diperkukuh dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.

Beliau turut mengulangi pandangan Malaysia bahawa keselamatan maritim merupakan "sauh strategik" bagi kestabilan serantau, dan menekankan kepentingan mengekalkan momentum ke arah memuktamadkan Tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan yang substantif dan berkesan, yang disasarkan oleh ASEAN untuk disiapkan menjelang Julai 2026.

Menyentuh isu Myanmar, Amran berkata Malaysia berbesar hati dengan komitmen Filipina untuk meneruskan usaha Kepengerusian Malaysia dalam mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan Myanmar, sambil menyatakan bahawa komitmen ini telah pun dizahirkan melalui Mesyuarat Libat Urus Pihak Berkepentingan yang dianjurkan Manila baru-baru ini, susulan proses yang dimulakan oleh Malaysia.

Selain itu, beliau berkata Malaysia akan terus menyokong Filipina pada 2026 melalui mekanisme Troika bersama Singapura bagi memastikan penglibatan serantau yang koheren dan konsisten mengenai krisis berkenaan.

Malaysia, katanya, mengalu-alukan fokus Filipina untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan, memajukan transformasi digital serta membangunkan ekonomi ASEAN yang lebih inovatif, inklusif dan mampan.

“Ini selaras dengan keutamaan Malaysia pada 2025 di bawah tonggak ekonomi dan kekal penting untuk kerelevanan jangka panjang ASEAN, khususnya dalam memanfaatkan ekonomi kreatif, teknologi dan keusahawanan sebagai pemacu baharu pertumbuhan serantau serta peluang kepada belia dan industri baharu.

“Kami akan terus memperjuangkan pertumbuhan mampan dan inklusif, mempercepat agenda digital ASEAN termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan secara bertanggungjawab, memperluas perdagangan intra-ASEAN yang dipacu inovasi dan mengukuhkan sokongan serantau untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana, terutamanya yang beralih kepada sektor hijau dan digital,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa perpaduan ASEAN kini lebih penting berbanding sebelum ini ketika rantau ini berdepan persaingan kuasa besar.

“Kita kini merupakan blok ekonomi kelima terbesar, dan dijangka menjadi keempat terbesar menjelang 2030 dengan hampir 700 juta penduduk.

“Terdapat potensi besar untuk kita memperkukuh kedudukan ini. ASEAN yang bersatu akan menjadi ASEAN yang kuat dalam menentukan langkah kita seterusnya apabila berurusan dengan kuasa-kuasa besar,” katanya.

Berdasarkan asas yang dibina melalui kejayaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Filipina akan menerajui ASEAN pada 2026 dengan tema “Navigating Our Future, Together”, yang memberi tumpuan kepada usaha kolektif mengukuhkan keamanan dan keselamatan, meningkatkan kemakmuran serta memperkasa rakyat di seluruh rantau.

Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 29 Jan ini di Cebu merupakan mesyuarat peringkat menteri pertama dalam kalendar tahunan ASEAN.

Ia akan didahului oleh Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN pada 27 Jan, serta Rundingan Tidak Rasmi dan Rundingan Tidak Rasmi Lanjutan mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara pada 28 Jan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan