DUNIA > BERITA

KEMATIAN LELAKI DI MINNEAPOLIS PERINGATAN KEPADA RAKYAT AMERIKA - OBAMA

26/01/2026 03:20 PM

ISTANBUL, 26 Jan (Bernama-Anadolu) -- Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan bekas Wanita Pertama Michelle Obama mengeluarkan kenyataan bersama pada Ahad yang mengutuk pembunuhan Alex Pretti, seorang jururawat unit rawatan rapi berusia 37 tahun yang ditembak mati sehari sebelumnya oleh pegawai Peronda Sempadan persekutuan di Minneapolis, Minnesota.

"Pembunuhan Alex Pretti adalah satu tragedi yang amat menyedihkan. Ia juga sepatutnya menjadi peringatan kepada setiap rakyat Amerika, tanpa mengira parti, bahawa banyak nilai teras kita sebagai sebuah negara semakin diancam," kata mereka, lapor Anadolu Ajansi.

Pembunuhan Pretti memburukkan lagi ketegangan, mencetuskan pertempuran di jalanan antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa.

Insiden itu menyusul selepas kejadian tembakan maut pada 7 Jan melibatkan Renee Good, seorang ibu berusia 37 tahun, oleh ejen Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE).

Pentadbiran Trump mendakwa Good bertindak "sangat tidak terkawal," "mengekori dan menghalang" kerja ejen sepanjang hari, serta "melanggar dengan kejam" seorang pegawai dengan kenderaannya, selain menyifatkan tindakan wanita itu sebagai "keganasan domestik."

Video tular daripada saksi di tempat kejadian menunjukkan kenderaannya sedang membelok menjauhi ejen berkenaan semasa tembakan dilepaskan.

Keluarga Obama mengakui bahawa penguat kuasa undang-undang persekutuan dan ejen imigresen mempunyai tugas yang sukar, namun menyatakan rakyat Amerika mengharapkan tugas tersebut dijalankan mengikut undang-undang, secara bertanggungjawab dan dengan penyelarasan bersama pegawai negeri serta tempatan.

"Itu bukan apa yang kita lihat di Minnesota," menurut kenyataan itu.

"Sejak beberapa minggu lalu, orang ramai di seluruh negara berasa marah dengan tindakan rekrut ICE bertopeng dan ejen persekutuan lain yang bertindak sewenang-werangnya serta menggunakan taktik yang seolah-olah dirancang untuk menakut-nakutkan, mengganggu, memprovokasi dan membahayakan penduduk di sebuah bandar utama Amerika," kata mereka.

Keluarga Obama menambah bahawa taktik tersebut kini mengakibatkan kejadian tembakan maut melibatkan dua warganegara AS, kedua-duanya di Minneapolis.

"Namun, daripada cuba menguatkuasakan disiplin dan akauntabiliti terhadap ejen yang dikerahkan, Presiden dan pegawai pentadbiran semasa seolah-olah mahu memburukkan lagi keadaan sambil menawarkan penjelasan awam mengenai penembakan Pretti dan Renee Good yang tidak berasaskan sebarang siasatan serius - dan kelihatan bercanggah terus dengan bukti video."

Mereka juga berkata bahawa rakyat Amerika "sepatutnya menyokong dan mengambil inspirasi daripada gelombang protes secara aman di Minneapolis dan bahagian lain di negara ini."

"Ia adalah peringatan tepat pada masanya bahawa akhirnya, ia bergantung kepada setiap daripada kita sebagai warganegara untuk bersuara menentang ketidakadilan, melindungi kebebasan asas kita dan menuntut akauntabiliti daripada kerajaan."

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan