DUNIA > BERITA

ORANG BURUAN WARGA MALAYSIA DITAHAN DI LAPANGAN TERBANG INDIA, TUNGGU PENYERAHAN KEPADA PDRM

26/01/2026 11:02 PM

NEW DELHI, 26 Jan (Bernama) -- Tiga orang buruan warga Malaysia, yang disyaki ahli satu sindiket jenayah, kini menunggu proses penyerahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas ditahan di Lapangan Terbang Mumbai pada Ahad.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan selepas bertindak agresif dan bergaduh dengan kakitangan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA) susulan pengusiran mereka dari Britain.

Mereka merupakan antara suspek yang diburu PDRM dalam operasi membanteras jenayah tahun lepas yang dikenali sebagai "Op Jack Sparrow".

Ketiga-tiga mereka dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam jenayah termasuk bunuh dan khianat dengan api, telah melarikan diri dari Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Manchester selepas transit di Mumbai. Bagaimanapun, mereka dinafikan kemasukan ke Britain dan dihantar pulang ke India, iaitu pelabuhan terakhir sebelum berlepas ke negara berkenaan.

Menurut laporan media tempatan pada Isnin, mereka bertindak ganas dan menyerang anggota Pasukan Keselamatan Industri Pusat (CISF) di Terminal 2 lapangan terbang berkenaan.

"Mereka berkelakuan seolah-olah tidak takutkan apa-apa. Beberapa pegawai diperlukan untuk menumpaskan mereka sebelum dipindahkan ke lokasi yang selamat," kata sumber lapangan terbang dalam laporan di laman sesawang Free Press Journal.

Laporan NDTV menyatakan bahawa sepasukan khas polis elit Malaysia dijangka tiba di Mumbai dalam tempoh 48 jam akan datang untuk mengambil suspek berkenaan bagi tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan