DUNIA > BERITA

MELAKA TEGASKAN KOMITMEN SEGERAKAN PEMBINAAN PELABUHAN BAGI PERKHIDMATAN RORO KE DUMAI

27/01/2026 08:55 PM

JAKARTA, 27 Jan (Bernama) -- Melaka menegaskan semula komitmennya untuk mempercepatkan pembangunan sebuah pelabuhan yang akan menyediakan perkhidmatan feri ro-ro antara negeri itu dengan Dumai di Indonesia, menurut Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru.

KJRI dalam satu kenyataan berkata komitmen itu disampaikan semasa pertemuan di Melaka antara delegasi konsulat yang diketuai Konsul Jeneral Sigit S. Widiyanto dan delegasi Kerajaan Negeri Melaka yang diketuai Setiausaha Bahagian Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka, Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz, pada Isnin.

“Kerajaan Melaka menyambut baik kunjungan itu dan menegaskan komitmen untuk melanjutkan projek kesalinghubungan rentas sempadan  yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia melalui Selat Melaka,” menurut hantaran KJRI itu di media sosial pada Selasa.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh wakil daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Melaka (PLANMalaysia Melaka), Lembaga Pelabuhan Melaka, Perbadanan Melaka (MCORP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Perkhidmatan Melaka-Dumai itu dicadangkan oleh Sigit pada 27 Ogos 2025, yang mana beliau menyatakan laluan itu antara lain akan melengkapkan program Jiran Istimewa (JIWA). Program berkenaan menyediakan keistimewaan buat penduduk di Johor dan Kepulauan Riau, serta Melaka dan Riau.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 134 penggiat industri pelancongan dari empat wilayah berkenaan telah menyertai JIWA, sebuah inisiatif layanan sempadan khas untuk merancakkan promosi pelancongan merentas sempadan di kawasan selatan Semenanjung Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan