DUNIA > BERITA

ASEAN TRAVEX 2026 BUKA TIRAI DI CEBU, PACU PELANCONGAN SERANTAU

28/01/2026 07:43 PM

CEBU (Filipina), 28 Jan (Bernama) – Acara perdagangan pelancongan utama ASEAN, TRAVEX 2026, membuka tirai di Cebu pada Rabu, menghimpunkan ratusan pembeli dan pempamer antarabangsa bagi memperluas akses pasaran serta merangsang pertumbuhan pelancongan merentas sempadan.

Jawatankuasa Hal Ehwal Media dan Komunikasi Strategik ASEAN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa acara tiga hari itu telah menarik penyertaan 271 pembeli dari 50 buah negara, selain 124 penjual dan 222 pempamer bertempat di Pusat Ekspo Mactan yang baharu dibina di Lapu-Lapu City , di sini.

Acara itu menghimpunkan pengusaha perusahaan pelancongan, agensi pelancongan, pemasar destinasi dan pembeli dari seluruh ASEAN, termasuk Filipina, Thailand, Vietnam, Indonesia, Laos, Kemboja, Malaysia, Myanmar dan anggota terbaharu blok itu, Timor-Leste.

Setiausaha Jabatan Pelancongan (DOT) Filipina, Christina Garcia Frasco mengetuai upacara perasmian itu. Turut hadir ialah Menteri Pelancongan Indonesia Widiyanti Putri Wardhana, Presiden Persatuan Pelancongan ASEAN Eddy Krismeidi, Ketua Pegawai Operasi Lembaga Promosi Pelancongan, Maria Margarita Montemayor Nograles, serta wakil dari negara anggota ASEAN, pegawai tempatan dan kenamaan lain.

Frasco berkata TRAVEX mempamerkan kepelbagaian dan kematangan tawaran pelancongan di rantau ASEAN.

"Ia merupakan platform yang menyatukan bukan sahaja destinasi dan produk, malah aspirasi, perkongsian serta tanggungjawab bersama demi masa depan pelancongan di rantau kami," katanya.

Beliau berkata TRAVEX bukan sekadar pertukaran perniagaan, sebaliknya ia bertujuan untuk menghasilkan impak yang nyata, kerjasama berterusan dan komuniti pelancongan ASEAN yang lebih kukuh.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan