DUNIA > BERITA

CHINA, BRITAIN KOMITED KEKALKAN HUBUNGAN DUA HALA YANG STABIL UNTUK JANGKA PANJANG

29/01/2026 06:14 PM

BEIJING, 29 Jan (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping menerima kunjungan Perdana Menteri Britain Keir Starmer di Dewan Besar Rakyat di sini, pagi tadi.

Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengekalkan hubungan perkongsian strategik komprehensif China-Britain yang stabil untuk jangka masa panjang.

Dalam pertemuan itu, Xi menegaskan bahawa China mempertahankan pembangunan secara damai, tidak pernah melancarkan peperangan atau menceroboh wilayah negara lain.

Menurut Xi, tidak kira sejauh mana kemajuan yang dicapai, China tidak akan menjadi ancaman kepada negara lain kerana budaya tradisinya yang sentiasa menjunjung keharmonian dan kedamaian.

Sehubungan itu, beliau berkata China dan Britain wajar memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk kebaikan bersama.

Tahun ini menandakan tahun pertama pelaksanaan Rancangan Lima Tahun ke-15.

Xi turut menekankan kepentingan kedua-dua negara memperluas kerjasama saling menguntungkan dalam sektor pendidikan, perubatan, kewangan dan perkhidmatan selain menjalankan penyelidikan bersama dalam bidang kecerdasan buatan, sains biologi, tenaga baharu, dan teknologi rendah karbon untuk menggalakkan pembangunan serta kemakmuran bersama.

Sementara itu, Starmer berkata beliau gembira menjadi perdana menteri Britain pertama yang melawat China dalam tempoh lapan tahun.

Beliau mengetuai delegasi besar yang terdiri daripada lebih 60 tokoh dalam sektor perindustrian, perdagangan dan kebudayaan, yang mencerminkan keinginan kuat Britain untuk mempergiat dan meluaskan kerjasama dengan China.

Starmer berkata China memainkan peranan penting dalam hal ehwal antarabangsa.

Beliau menegaskan Britain bersedia meningkatkan kerjasama dengan China dalam menangani cabaran global, termasuk perubahan iklim, serta bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan dunia.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan