DUNIA > BERITA

KETUA PBB GESA PELAKSANAAN PENUH GENCATAN SENJATA GAZA DAN PENGUNDURAN ISRAEL

30/01/2026 08:08 PM

NEW YORK, 30 Jan (Bernama-WAFA) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menegaskan keperluan untuk melaksanakan sepenuhnya perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Bercakap dalam sidang media pada Khamis, Guterres berkata gencatan senjata di Gaza pada masa ini disifatkan sebagai pengurangan ketegangan dalam serangan tanpa penghentian sepenuhnya.

Beliau menekankan keperluan untuk beralih ke fasa kedua, yang akan melibatkan pengunduran penuh tentera pendudukan Israel dan membuka jalan kepada pelaksanaan penyelesaian dua negara.

Setiausaha Agung itu berkata tanggungjawab utama bagi keamanan dan keselamatan antarabangsa terletak pada Majlis Keselamatan PBB, sambil menyatakan bahawa ia adalah satu-satunya badan yang diberi kuasa untuk menetapkan keputusan yang mengikat semua pihak dan membenarkan penggunaan kekerasan di bawah undang-undang antarabangsa.

Guterres juga mengulangi tentangan kerasnya terhadap semua usaha Israel untuk melemahkan penyelesaian dua negara, terutamanya di Tebing Barat, melalui pembinaan penempatan, perobohan, pemindahan paksa, dan keganasan pendatang.

Beliau menegaskan perlunya untuk menghentikan amalan itu dan mewujudkan keadaan yang membolehkan Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, membentuk Negara Palestin pada masa hadapan.

-- BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan