DUNIA > BERITA

KES RASUAH: BEKAS WANITA PERTAMA KOREA SELATAN KIM KEON HEE RAYU HUKUMAN PENJARA 20 BULAN

02/02/2026 06:09 PM

SEOUL, 2 Feb (Bernama-Yonhap) -- Bekas wanita pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee pada Isnin mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan ke atasnya kerana menerima hadiah mewah daripada Gereja Unification, lapor Agensi Berita Yonhap.

Rabu lepas, Mahkamah Daerah Pusat Seoul menjatuhkan hukuman tersebut, menjadikan Kim dan suaminya, bekas Presiden Yoon Suk Yeol yang digulingkan, sebagai pasangan bekas presiden pertama di negara itu yang dipenjarakan atas sabitan jenayah.

Mahkamah mendapati Kim bersalah kerana menerima beg tangan Chanel dan kalung berlian Graff, serta imbuhan perniagaan daripada Gereja Unification pada 2022, selain memerintahkannya untuk melucut hak sebanyak 12.8 juta won (US$8,770).

Bagaimanapun, mahkamah membebaskan Kim daripada dua pertuduhan utama lain yang dihadapi dalam perbicaraan itu - penglibatan dalam skim manipulasi harga saham dan melanggar Akta Dana Politik.

Peguam Kim berkata mereka akan mencabar sabitan bersalah tersebut, menafikan bahawa beliau pernah menerima kalung bernilai 62.2 juta won dan mempertikaikan pengiktirafan mahkamah terhadap sifat transaksi beg tangan Chanel berkenaan.

"Kami telah memfailkan rayuan untuk membetulkan fakta dan mendedahkan kebenaran berhubung penerimaan item berkaitan imbuhan perniagaan daripada Gereja Unification serta pengiktirafan (mahkamah) bahawa beliau menerima (barangan berharga) sedangkan hakikatnya beliau tidak menerimanya," kata mereka dalam satu kenyataan.

Hukuman tersebut jauh lebih ringan daripada tempoh 15 tahun yang dituntut oleh pasukan pendakwa khas Min Joong-ki, yang telah memfailkan rayuan pada Jumaat lepas dengan mendakwa terdapat salah faham fakta yang "serius" dalam keputusan itu.

Kim telah dituduh bersubahat untuk memanipulasi harga saham Deutsch Motors, pengedar BMW di Korea Selatan, dan mengaut keuntungan haram sebanyak 810 juta won antara 2010 dan 2012.

Beliau juga didakwa melanggar Akta Dana Politik kerana menerima tinjauan pendapat percuma, bersama suaminya, daripada seorang yang mendakwa sebagai perantara kuasa menjelang pilihan raya presiden 2022.

Mahkamah menyatakan ia tidak dapat menentukan bahawa Kim bertindak sebagai rakan subahat dalam manipulasi harga saham, selain mendapati beliau tidak bersalah atas pertuduhan lain kerana perantara kuasa itu tidak memberikan tinjauan berkenaan secara eksklusif kepada pasangan tersebut.

Yoon, yang sedang dibicarakan atas tuduhan mengetuai pemberontakan melalui pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat pada 2024, telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas pertuduhan yang berpunca daripada percubaan undang-undang tentera yang gagal itu.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan