BRUSSELS, 2 Feb (Bernama-Anadolu) -- Suruhanjaya Eropah pada Isnin berkata ia masih membuka semua kemungkinan berhubung tindakan Kesatuan Eropah (EU) untuk menetapkan had umur minimum bagi penggunaan media sosial, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam taklimat tengah hari Suruhanjaya EU, jurucakap Thomas Regnier berkata setiap negara anggota dibenarkan menetapkan had umur minimum untuk rakyat mereka sendiri, tetapi tidak boleh mengenakan tanggungjawab tambahan kepada platform dalam talian melebihi apa yang telah diatur di peringkat EU.
“Bolehkah Austria menetapkan umur minimum untuk rakyatnya? Ya, boleh,” kata Regnier, sambil menambah bahawa peraturan serupa sudah wujud di negara lain seperti Perancis.
“Bolehkah Austria mengenakan tanggungjawab tambahan ke atas platform dalam talian yang sangat besar? Tidak boleh, kerana perkara ini sudah diatur di bawah Artikel 28 Akta Perkhidmatan Digital (DSA).”
Di bawah DSA, semua platform dalam talian diwajibkan memastikan tahap keselamatan, privasi dan perlindungan tinggi untuk pengguna, terutama golongan di bawah umur.
Regnier berkata alat pengesahan umur dianggap sesuai apabila wujud umur minimum undang-undang negara, tetapi tanggungjawab undang-undang platform adalah seragam di peringkat EU.
Walaupun begitu, beliau menegaskan Suruhanjaya EU terus bekerjasama rapat dengan negara anggota dan tidak menolak kemungkinan tindakan tambahan di peringkat Eropah.
“Kami bekerja rapat dengan negara anggota. Suruhanjaya kini membuka semua kemungkinan … Jika EU secara keseluruhan merasakan wujud keperluan untuk mengambil langkah lebih jauh, mengapa kita perlu menutup peluang itu?” kata Regnier.
Suruhanjaya sedang menubuhkan panel pakar untuk menilai sama ada langkah tambahan di peringkat EU diperlukan, tambah beliau.
Kenyataan itu dibuat ketika Austria sedang mempertimbangkan larangan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah umur 14 tahun, yang dijangka dilaksanakan pada awal tahun sekolah akan datang, dan sedang meneliti pilihan penguatkuasaan teknikal.
Perancis pula telah bergerak di peringkat nasional. Rang undang-undang yang disokong Presiden Emmanuel Macron diluluskan Dewan Rendah Parlimen pada 26 Jan dan bertujuan menguatkuasakan larangan bermula tahun sekolah 2026, dengan pengesahan umur penuh untuk semua pengguna dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Jan 2027.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial